Rita Rudaini berang kejayaan anak sulung dikaitkan dengan ‘lagenda JDT’.
Pelakon Rita Rudaini berang apabila kejayaan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, yang berjaya memecahkan beberapa rekod dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024 baru-baru ini dikaitkan dengan bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Kemarahan Rita semakin memuncak apabila sebuah portal melabelkan pemain bola sepak itu sebagai ‘legenda’ kelab bola sepak terkenal tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Siapa legenda JDT itu? Celah mana? Apa kaitan dengan anak yang aku jaga.
“Saja nak viral cara jahat. Aku penat bela sejak kecil, tiba-tiba tajuk (berita): ‘anak legenda JDT’. Kepala hotak hang,” luahnya menerusi Instagram Story.
Terdahulu, Airit Rayyan mendapat pujian ramai bukan sahaja kerana kecemerlangannya dalam bidang akademik, tetapi juga dalam sukan apabila dia berjaya memecahkan rekod acara balapan dalam Kejohanan Olahraga MSSD Sabak Bernam 2024.
Airit berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) kejohanan tersebut yang telah bertahan selama 20 tahun. Menurut Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, Airit yang merupakan pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan masa 11.44 saat (s).
Selain itu, Airit juga berjaya memecahkan rekod kejohanan yang sama menerusi acara 200m dengan catatan masa 23.81s.
Sebelum ini, anak kesayangan pelakon filem Mami Jarum itu juga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilaian Gred (PNG) 3.99 dalam peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Dia juga pernah menerima Anugerah Pengetua yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh PNG 3.50 dan ke atas.
Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada tahun 2008 namun mereka berpisah pada September 2013.