Risau hilang kelayakan sebagai ADUN?, Sanusi buat permohonan maaf kali kedua kepada Sultan Selangor.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Permohonan maaf itu berkaitan dengan kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Ini merupakan kali kedua Menteri Besar Kedah itu memohon maaf kepada Sultan Selangor selepas permohonan maaf pertama pada 14 Julai tahun lalu.
Dalam satu sidang media di sini hari ini, Muhammad Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), memaklumkan bahawa warkah permohonan maaf terbaharu telah dihantar kepada baginda.
“Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah memohon keampunan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor.
“Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor, seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah, yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.
“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa serta mengguris hati dan perasaan Tuanku, dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan patik tersebut.
“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” demikian kandungan permohonan maaf beliau dalam warkah berkenaan.
Muhammad Sanusi, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, membacakan kenyataan tersebut dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.
Menteri Besar itu turut mengakui bahawa beliau sedar tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina, dan tidak sopan ketika berada di negeri orang, terutamanya di Selangor.
“Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina, dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan, walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.
“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya.
Beliau juga berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja.
Dalam ucapannya yang tular pada Julai tahun lalu, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor berkenaan pelantikan Menteri Besar negeri berkenaan.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis, dengan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai menghina institusi beraja di Selangor. Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkaitan ucapan berbaur 3R, iaitu kaum, agama, dan raja.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Kes tersebut kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada jam 11 malam 11 Julai 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.