Ribuan tapak sulaiman mati terdampar di pantai di Kent, mendorong pihak majlis tempatan mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya melarang kanak-kanak serta anjing peliharaan ke kawasan itu.
Portal Sky News melaporkan bangkai tapak sulaiman banyak dilihat di antara Margate Winter Gardens dan kawasan cetek di Pantai Margate pada Isnin, menurut jurugambar bebas, Andy Freeman.
Dia yang menyaksikan ribuan makhluk laut itu mati memuatnaik imej dirakam itu di kumpulan Facebook (FB) tempatan.
Kematian seumpamanya adalah perkara biasa yang berlaku selepas cuaca buruk dan kawasan Margate memang sedang mengalami cuaca sejuk dengan suhu rendah.
Selain itu, kawasan berkenaan mengalami hujan dan angin kencang sejak kebelakangan ini sebelum kejadian dirakam pada Isnin.
Pejabat Metereologi dan Agensi Alam Sekitar turut memberi amaran kepada mereka yang berada di kawasan berpotensi banjir.
Agensi Alam Sekitar berkata, hidupan marin seperti kelompok haiwan invertebrata seperti tapak sulaiman dan ketam boleh terdedah kerana kecenderungannya untuk hidup atau berhijrah ke air cetek, jadi ia lebih cenderung untuk dihanyutkan ke pantai.
Majlis Daerah Thanet berkata, mereka menyedari kejadian itu dan berkata ia kemungkinan berpunca daripada laut bergelora baru-baru ini dan ditambah angin darat yang melanda.
“Kami memahami kebimbangan orang ramai apabila hidupan laut ditemui di pantai daerah ini.
“Kami membuat laporan mengenai perkara itu kepada British Divers Marine Life Rescue yang kemudian mengumpulnya,” kata pihak majlis terbabit.
Orang ramai dinasihatkan tidak cuba memindahkan mana-mana hidupan laut yang terdampar dan menjauhkan anjing dan kanak-kanak kerana kemungkinan haiwan mati itu mempunyai penyakit berjangkit.
Rakaman yang dikongsi oleh Kent Live pada April tahun lalu pula menunjukkan pemandangan yang hampir sama di Botany Bay berdekatan.
Kejadian sama berlaku di sebuah pantai di Ramsgate, Kent pada 2018 yang terletak kurang 10 kilometer (km) dari Pantai Margate.
Ia kemudiannya dirujuk sebagai satu peristiwa hidupan akuatik terdampar besar-besaran terbesar dalam rekod di United Kingdom (UK) oleh Muzium Sejarah Alam.
Keterangan Gambar:
slug: sulaiman
RIBUAN tapak sulaiman mati terdampar di Pantai Margate di Kent, United Kingdom (UK) pada Isnin. FOTO Andy Freeman
slug: tapak
Ribuan tapak sulaiman mati terdampar di Pantai Margate di Kent, United Kingdom (UK) pada Isnin. FOTO Andy Freeman