Restoran terkenal buat peraturan keras hukum pekerja undang pelbagai reaksi warganet.
Sebuah restoran hidangan Jepun terkenal di ibu negara mencetuskan kontroversi apabila peraturan pekerjanya yang dianggap keras dan tidak masuk akal tular di media sosial.
Antara peraturan yang didedahkan termasuk denda sebanyak RM500 jika pekerja menggunakan tandas, RM100 untuk cuti sakit (MC), RM300 bagi mangkuk yang pecah, dan RM100 untuk sudu yang rosak.
Lebih mengejutkan, peraturan ini dilaporkan dikenakan kepada semua pekerja, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan.
Selain itu, pengurus restoran tersebut didakwa mengugut pekerja dengan tindakan undang-undang dan memanggil polis jika ada yang membocorkan peraturan ini kepada pihak luar.
Pendedahan ini menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial yang rata-rata tidak berpuas hati dengan tindakan pihak restoran.
“Pihak berkuasa pun tak akan tahan pekerja jika restoran buat laporan pasal benda ni sebab Akta Kerja jelas menyatakan tiada pemotongan boleh dilakukan ke atas gaji pekerja kecuali untuk perkara tertentu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” ujar Adil.
“Siap mengancam. Nampak sangat dia tahu benda tu salah tapi tetap buat juga. Elok ramai-ramai boikot kedai ni,” komen seorang pengguna bernama Permata Hati.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Malaysia, Steven Sim Chee Keong, turut memberi respons terhadap isu ini dengan menegaskan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji pekerja kecuali yang dibenarkan di bawah Akta Kerja.