Remaja mengaku bersalin di tandas pusat beli belah, teman lelaki buang mayat bayi di plaza tol.
Mayat bayi yang dipercayai dilahirkan di tandas sebuah pusat beli-belah di Puchong dibuang di tandas Plaza Tol Batu 14, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini, minggu lalu.
Kejadian mengejutkan itu terbongkar apabila remaja perempuan yang melahirkan bayi itu menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, pada 18 Disember lalu, selepas mengalami sakit perut dan demam.
Polis mengesahkan pasangan kekasih berusia 16 dan 19 tahun terlibat dalam kejadian itu, dengan bayi berkenaan dipercayai dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan.
Menurut sumber, remaja wanita tersebut yang mengadu sakit perut dan demam mendapatkan rawatan di hospital terbabit, sebelum doktor menyedari bahawa remaja itu pernah melahirkan bayi.
Remaja terbabit kemudian mengaku telah bersalin di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Puchong sebelum teman lelakinya membuang bayi itu di tandas plaza tol.
“Orang awam yang menggunakan tandas di plaza tol itu menemukan bayi yang sudah tidak bernyawa pada 10 malam, 18 Disember lalu, dan segera menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, pasangan itu ditahan minggu lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan mendapati bayi itu dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan kimia,” katanya kepada Harian Metro malam ini.
Wan Azlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.