Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, nyaris menjadi mangsa lemas ke 8 di Terengganu tahun ini selepas mandi di Pantai Pandak, Chendering, di sini.
Mangsa, Muhammad Nashran Shafi Shahirwan, bersama bapanya dipercayai baru tiba di Terengganu dari Melaka untuk bercuti.
Kedua-duanya mandi di pantai tersebut jam 9.00 pagi tadi.
Mangsa kemudiannya ditarik arus ombak dan bergelut hampir 5 minit sebelum berjaya diselamatkan penduduk tempatan menggunakan pelampung.
Mangsa dibawa ke pantai dan diberi bantuan kecemasan.
Bapanya berjaya menyelamat diri berenang ke pantai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, orang ramai masih dilarang melaksanakan aktiviti di air kerana cuaca masih tidak menentu dan amat berisiko untuk lemas.
“Dilarang Sama sekali Mandi dipantai ketika ini kerana amat bahaya dan pengunjung dinasihatkan patuh pada amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa”, katanya.