Remaja ini digelar manusia burung hantu, mampu pusing kepala sehingga 180 darjah.
KISAH remaja berasal dari Pakistan ini pernah menjadi bualan dan disiarkan media beberapa tahun lalu. Muhammad Sameer yang ketika itu berusia 14 tahun mendapat perhatian apabila berupaya memusingkan kepalanya ke belakang, seperti kelebihan yang dimiliki burung hantu.
Sameer juga digelar manusia burung hantu kerana kemampuannya memusingkan kepala pada arah 180 darjah. Keupayaannya itu juga menimbulkan rasa ngeri penonton yang melihatnya. Betapa tidak, bagi seorang manusia normal, aksi itu amat sukar untuk dilakukan.
Lazimnya, penglihatan kita boleh melihat ke belakang namun bukan kedudukan kepala sepenuhnya. Jika dipaksa, sudah pasti menimbulkan kesakitan di bahagian leher. Malah, lebih teruk lagi berisiko mendatangkan kecederaan.
Bagaimanapun, aksi itu dilakukan Sameer tanpa sebarang rasa sakit. Remaja lelaki ini tersebut menggunakan kedua-dua tangan untuk menolak kepalanya ke arah belakang. Dia tidak menggerakkan secara terus tetapi mengangkat sedikit anggota berkenaan sebelum membetulkan kedudukannya sehingga betul-betul tegak menjadi 180 darjah. Perlakuan itu dibuat dengan pantas namun sempat dirakamkan oleh orang ramai. Malah, video-videonya pernah tular apabila dikongsikan di laman sosial.
Sejurus tular, Sameer mendapat perhatian umum apabila kisahnya dilaporkan oleh beberapa media tempatan dan antarabangsa. Sebenarnya, kebolehan luar biasa Sameer diperoleh selepas menonton sebuah kisah seram Hollywood ketika berusia sekitar tujuh atau lapan tahun.
Dalam cerita tersebut, dia melihat satu watak dengan aksi memusing kepala sehingga ke belakang badan. Lakonan itu menimbulkan rasa teruja sehingga mendorong Sameer untuk melakukan perbuatan tersebut.
Dia kemudian mempraktikkan perlakuan ngeri itu dari hari ke hari. Pada mulanya, agak sukar. Namun, apabila kerap melakukannya, Sameer berjaya meniru aksi watak seram yang pernah ditonton ketika kanak-kanak. Pada masa sama, dia masih mampu mengekalkan keelastikannya.
Pernah satu ketika dia melakukan aksi itu di hadapan ibunya, Rukhsana Khan. Akan tetapi, kejadian sebaliknya berlaku apabila dia ditampar dek kerana perbuatan tersebut. Wanita itu berasa marah lalu memberi amaran kepada Sameer untuk tidak mengulangi perlakuan ngeri itu.
Kejadian itu tidak sedikit pun menghalang minat Sameer untuk kembali melakukan aksi tersebut. Malah, dia semakin giat mempertontonkan bakatnya kepada orang ramai. Tambahan lagi, pada usia muda dia sudah menggalas tanggungjawab mencari pendapatan untuk keluarga. Diserang strok sebanyak dua kali menyebabkan bapanya, Sajid Khan tidak lagi dapat bekerja seperti biasa.
Keadaan itu memaksa Sameer untuk berhenti sekolah sebelum mengambil alih tugas berkenaan. Dia menyertai kumpulan tarian dikenali sebagai ‘Dangerous Boys’ dan memperoleh pendapatan daripada tarian yang dipersembahkan. Setiap kali persembahan dilakukan, kumpulan ini memperoleh bayaran sekitar £6 hingga £10. Dalam tempoh sebulan, bayaran yang berjaya dikumpulkan oleh Sameer adalah sebanyak £100 hingga £120.
Aksi mempamerkan pusingan kepala 180 darjah memberi kelebihan buat Sameer dalam mencari rezeki untuk keluarganya. Bukan itu saja, tubuhnya juga bersifat fleksibel dan boleh dilentur pada bila-bila masa.
Perkara yang sama turut mengubah persepsi Rukhsana terhadap bakat anaknya. Wanita ini menganggap gerak langkah itu sebagai anugerah Tuhan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan manusia biasa. Dalam pada itu, Sameer menyimpan cita-cita sebagai pelakon di mana dia ingin melakonkan sendiri aksi ngeri berkenaan. Dia berharap impian itu dapat dicapai suatu hari nanti.
Baca Lagi: