Rangka pesawat tersadai dipercayai di pelabuhan jadi tanda tanya ramai.
Rangka pesawat yang tular di media sosial bukan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
TUDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa video dan gambar yang memaparkan rangka pesawat tersebut, yang didakwa merupakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat, telah tersebar di beberapa platform media sosial seperti Facebook, TikTok, dan X.
“Pihak TUDM ingin menjelaskan bahawa semua pesawat milik TUDM berada dalam kawalan TUDM dan diuruskan secara sistematik, selamat, dan selari dengan pengoperasian TUDM.
“Pihak TUDM juga menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak tepat mengenai perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 10 saat serta gambar yang memaparkan beberapa pesawat pejuang tersadai, dipercayai berada di sebuah pelabuhan.