Walaupun industri hiburan di Malaysia sentiasa dihidupkan dengan kemunculan bakat baru dalam seni suara, namun penghibur lama atau ‘otai’ masih menarik perhatian ramai.
Malahan, carta lagu hujung minggu yang disiarkan oleh stesen radio swasta masih menampilkan lagu-lagu popular dari era 1980-an dan 1990-an yang menjadi pilihan pendengar masa kini walaupun diberi sentuhan baharu.
Sama juga dalam konsert-konsert yang diadakan, nama-nama penyanyi seperti Datuk Awie, Datuk Amy Search, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, dan Datuk Ramli Sarip masih menjadi kegemaran penonton untuk menyaksikan persembahan mereka.
Meskipun mereka diberi gelaran ‘warga emas’ kerana faktor usia yang semakin meningkat, namun dari segi stamina, golongan penyanyi senior ini masih bertenaga kerana pengalaman yang mereka miliki. Menurut Ramli, 72 tahun, penyanyi kumpulan Sweet Charity, pengalaman adalah kunci kekuatan mereka.
“Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan seni. Ia tidak boleh dibeli atau dijual. Pengalaman ini membantu saya menjaga suara dan stamina pada usia emas ini. Suara adalah anugerah, tetapi pengalaman panjang dalam industri nyanyian sangat penting,” katanya.
Ramli juga berkongsi bahawa dia menjaga pemakanannya dengan mengamalkan pengambilan supplement atau makanan tambahan setiap hari, terutama makanan sunnah seperti habbatus sauda, madu, susu, minyak zaitun, dan lain-lain.
“Banyak makanan sunnah yang saya amalkan secara harian. Selain itu, saya tidak merokok dan mengelakkan minuman yang tidak baik untuk kesihatan,” tambahnya.
Dengan separuh abad pengalaman dalam industri nyanyian, Ramli dikenali dengan lagu-lagu ‘hits’ seperti Kamelia, Doa Buat Kekasih, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta, Bukan Kerana Nama, Teratai, Musafir Rindu, dan banyak lagi.
Walaupun situasi Covid-19 menghalang penganjuran konsert, Ramli tetap menjadi pilihan penganjur atas vokal dan persembahannya yang mantap. Meskipun usianya sudah emas, dia tetap memberikan komitmen terbaik dalam setiap persembahan, tidak kira berapa lama konsert tersebut.