Ramai yang tak tahu, ini perbezaan kupu-kupu & rama-rama.
Kupu-kupu dan rama-rama secara umumnya dapat dibezakan melalui struktur dan warna spesies masing-masing, jelas Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Nazirah Mustaffa.
Beliau berkata bahawa kupu-kupu memiliki sesungut yang berbentuk seperti palu (tukul) di hujungnya, manakala rama-rama mempunyai variasi sesungut, termasuk berbentuk seperti jarum atau insang.
“Ketika berehat, kupu-kupu biasanya melipat sayapnya menegak ke atas, manakala rama-rama akan membiarkan sayapnya terbentang mendatar. Rama-rama terbesar adalah daripada genus Attacus, yang boleh ditemui di hutan hujan tropika, termasuk di Borneo, dengan bukaan sayap sehingga 24 sentimeter,” katanya kepada Bernama.
Nazirah turut menjelaskan bahawa rama-rama dikelaskan kepada dua kumpulan: rama-rama makro dengan bukaan sayap melebihi 20 milimeter (mm) dan rama-rama mikro yang bersaiz lebih kecil.
Kupu-kupu pula mempunyai bentuk badan yang lebih membujur, aktif pada waktu siang, tetapi ada juga yang aktif pada waktu pagi dan senja. Sebaliknya, rama-rama mempunyai badan lebih lebar dan biasanya aktif pada waktu malam, walaupun ada yang keluar pada siang hari.
Tempoh hayat kupu-kupu dan rama-rama, menurut Nazirah, bergantung kepada spesies masing-masing, dengan kebiasaannya hidup antara satu hingga enam bulan. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa beberapa spesies kupu-kupu boleh hidup sehingga setahun.
Namun, ancaman kepupusan menyebabkan spesies kupu-kupu daripada keluarga Nymphalidae dan Papilionidae, termasuk Troides amphrysus, dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 2010. Rama-rama daripada spesies Attacus atlas turut dicadangkan untuk dilindungi di bawah CITES Appendix II (1999) kerana ia sering dijual dalam talian dengan harga antara RM80 hingga RM320 bergantung kepada keadaan spesimen.
Kupu-kupu daripada keluarga Papilionidae, iaitu Trogonoptera brookiana atau lebih dikenali sebagai Rajah Brooke’s Birdwing, diiktiraf sebagai kupu-kupu kebangsaan Malaysia. Sabah pula menjadikan Kinabalu Birdwing atau Kalibambang Emas sebagai kupu-kupu rasmi negeri pada 13 September tahun lalu.
Media pada Januari tahun lalu melaporkan bahawa 50 peratus spesies kupu-kupu di Asia Tenggara, termasuk Rajah Brooke’s Birdwing, dianggarkan akan pupus menjelang tahun 2100.
Pembantu Penyelidik Kanan Taman Kupu-Kupu, Taman-Taman Sabah (TTS) Poring, Ranau, Justinah Parantis, berkata beberapa projek kebun bunga telah diwujudkan untuk menarik kehadiran kupu-kupu, termasuk kebun orkid, taman tropika, kebun etnobotani, laluan kanopi, dan kebun Rafflesia.
Di taman seluas lebih dua hektar itu, terdapat makmal pembiakan kupu-kupu untuk memelihara telur, ulat, dan kepompong sehingga menjadi kupu-kupu dewasa. Kehadiran kupu-kupu biasanya lebih padat antara Disember hingga Mac dan Ogos.
“Ketika inilah kehadiran kupu-kupu betina Rajah Brooke’s Birdwing sangat dinantikan,” katanya. Justinah pernah menjalani latihan di Natural History Museum and Institute di Chiba, Jepun, selama 10 bulan pada 1995 serta menjadi pelatih di beberapa kebun kupu-kupu di Jepun.
Taman ini mampu memelihara sekitar 30 ekor ulat Rajah Brooke’s pada satu masa. Kupu-kupu betina akan dilepaskan ke habitat semula jadi kerana ia tidak bertelur dalam kurungan, manakala kupu-kupu jantan dipamerkan untuk tontonan pelawat.
“Kupu-kupu betina Rajah Brooke’s biasanya hanya datang ke taman untuk bertelur, tetapi jarang kelihatan pada tumbuhan perumah yang kami tanam,” katanya. Tumbuhan perumah itu adalah aristolochia foveolata, makanan utama larva spesies ini.
Justinah juga berkongsi bahawa usaha pemuliharaan kupu-kupu di taman itu bermula dengan tiga sukarelawan Jepun yang pakar dalam entomologi: Keiko Sugimoto (1989-1993), yang membangunkan taman, mengajar cara pemeliharaan ulat, dan mencari tumbuhan perumah; Tsuyoshi Ohkuma (1993-1996), yang membangunkan pameran spesimen kupu-kupu; serta mendiang Prof. Kazuhisa Ohtsuka (1998-1999), yang mengajar teknik pengawetan spesimen serangga.
“Selepas itu, tiada lagi sukarelawan Jepun. Kami meneruskan projek ini berdasarkan tunjuk ajar yang telah diberikan,” tambahnya.