Ramai yang tak tahu, ini perbezaan Deepavali & Diwali.
Hari Deepavali merupakan salah satu perayaan penting bagi masyarakat India beragama Hindu di seluruh dunia.
Ia turut dikenali sebagai “pesta cahaya” yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengalahkan kejahatan dan ilmu mengatasi kejahilan.
Menurut portal PBS, Deepavali disambut dengan pelbagai aktiviti dan pengisian termasuk daripada sudut ritual oleh penganut agama Hindu.
Dalam tempoh perayaan ini, aktiviti seperti menziarahi sanak saudara, mengadakan pertujukan bunga api, bersembahyang di kuil atau rumah masing-masing dan jamuan akan berjalan.
Selain itu, kita juga mengenali perayaan ini dengan pelbagai hiasan lampu minyak dan ‘kolam’ atau ‘rangoli’.
Biasanya, kita boleh melihat dekorasi ini di pusat beli-belah atau di rumah sahabat-sahabat yang menyambut Deepavali.
Sambutan perayaan Deepavali biasanya disambut mengikut kalendar Tamil pada hari ke-14 bulan Aipasi (antara bulan Oktober dan November).
Menakala Deepavali berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ”Depa” yang bermaksud pelita atau cahaya dan ”Avali” iaitu siri atau sebarisan.
Apabila digabungkan, boleh membawa maksud satu siri atau sebarisan cahaya yang kemudian dikenali sebagai pesta cahaya.
Perkataan Diwali pula berasal dari perkataan Deepavali itu sendiri.
Perbezaan antara Deepavali dan Diwali
Namun begitu, ramai yang masih keliru dengan perbezaan penggunaan kedua-dua istilah ini, Deepavali dan Diwali.
Lalu timbul pertanyaan, apakah Diwali sama seperti Deepavali? Jika tidak, apakah perbezaan dan asal-usul istilah berkenaan?
Penyampai radio, Prem Shanker baru-baru ini tampil berkongsi perbezaan istilah antara Deepavali dan Diwali yang ramai tidak tahu menerusi TikTok @erasarawak.
@erasarawak Tok soalan kita selalu tetanyak2 betol sik ? Dah terjawab dah geng! • #ERASarawak #Deepavali #fyp #happydeepavali ♬ original sound – ERA Sarawak
Menurut beliau, nenek moyang masyarakat India di Malaysia kebanyakkannya berasal dari kawasan Selatan India.
Mereka lazimnya bertutur dalam bahasa Tamil dan menggunakan istilah Deepavali untuk perayaan tersebut.
Manakala Diwali pula adalah istilah yang digunakan oleh penduduk yang tinggal di kawasan Utara India.
Secara umumnya, Deepavali dan Diwali adalah perayaan yang sama namun dengan beberapa perbezaan termasuk penggunaan istilah daripada dua wilayah berbeza di India.
Di Malaysia, kerana keturuan majoriti masyarakat India berasal dari kawasan Selatan India dan berbahasa Tamil, maka ucapan Deepavali lebih sering digunakan.
Video berkenaan mendapat 212.5k tontonan setakat ini
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh penyampai radio berkenaan.
“Perbezaanya adalah Hindi dan Tamil,” komen seorang wargamaya.
“Penerangan yang jelas. Terima kasih kerana berkongsi. Sekarang baru faham,” komen lagi seorang wargamaya.