“Ramai yang merungut”- Lesen, cukai jalan fizikal bakal kembali tahun depan, mungkin ada caj tambahan.
Setelah hampir setahun melaksanakan lesen dan cukai jalan dalam bentuk digital, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan satu inisiatif baharu pada tahun hadapan yang memberi pilihan kepada orang ramai untuk mencetak cukai jalan dan lesen memandu secara fizikal seperti sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan ini dibuat selepas mendapati masih terdapat segelintir individu yang mahu kedua-dua dokumen tersebut dicetak dalam bentuk fizikal, lapor Harian Metro.
“Masih ada lagi rungutan orang ramai bahawa ada sebilangan yang ingin melihat atau mencetak lesen atau cukai jalan mereka.
“Dari segi itu, memang kita akan tambah baik. Jadi, awal tahun depan kita akan umumkan satu inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen mereka secara fizikal. Mereka mungkin perlu membayar kos pencetakan itu untuk mendapatkan kad fizikal tersebut,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan itu, aplikasi mudah alih MyJPJ telah dimuat turun oleh 13.7 juta pengguna, dengan lebih 1 juta transaksi dilakukan untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan. Jumlah kutipan setakat 31 Oktober mencecah hampir RM121 juta.
Pada masa yang sama, fungsi baharu yang membolehkan pengguna menerima makluman tarikh tamat tempoh cukai jalan akan diumumkan selepas ciri tersebut siap dan sedia digunakan.
Pada Februari tahun lalu, MOT mengumumkan bahawa pemilik kenderaan persendirian di Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di kenderaan mereka atau membawa lesen memandu fizikal, selaras dengan peralihan kepada sistem digital.