Penyanyi pop, Lady Gaga membuat ramai terpinga-pinga apabila secara spontan berteriak kepada peminat bahawa dirinya akan masuk neraka.
Pada persembahan Lady Gaga Jazz & Piano di Park MGM Las Vegas, Amerika Syarikat malam tadi, Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta, 38, berseloroh dia tidak memerlukan doa daripada orang ramai.
“Saya tak memerlukan sebarang doa, saya akan ke neraka,” ujarnya sebelum melunaskan sebuah lagu nyanyiannya pada konsert ‘sold out’ tersebut.
Menjengah komen peminat dalam media sosial, ramai yang mengkritik pelantun lagu Bad Romance itu yang sememangnya terkenal dengan muzik bernuansa gelap dan dikatakan ahli pertubuhan rahsia, Freemason.
“Itulah akibatnya apabila seseorang sudah menjual diri mereka (kepada syaitan),” sindir seorang pengguna media sosial.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan peminat yang berpendapat, apa yang diucapkan Gaga merupakan teaser untuk album studio ketujuhnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Rasanya dia memberi bayangan apa yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, LG7,” kata seorang peminat.
Sejak berkecimpung dalam dunia seni pada 2005, Gaga telah berdepan dengan pelbagai dakwaan serta tohmahan termasuklah dikatakan merupakan seorang khunsa dan penyembah syaitan.
Bagaimanapun, sepanjang hampir 20 tahun bergelar pemuzik, dia sudah memenangi 13 trofi Grammy dan satu trofi Oscar selain pernah dicalonkan sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik Academy Awards menerusi lakonannya dalam filem A Star Is Born.