Ramai puji sikap anggota polis ini bantu keluarga susah selepas keluarkan saman.
Setiap pekerjaan di dunia ini mempunyai cabaran tersendiri, terutama bagi anggota beruniform seperti polis.
Ramai yang beranggapan cabaran kerja polis hanya melibatkan berdepan dengan penjenayah. Namun, hakikatnya, anggota polis juga menghadapi dugaan lain ketika menjalankan tugas, yang kadangkala menyentuh emosi mereka.
Polis Keluarkan Saman Kerana Pemandu Tiada Lesen Memandu
Pada 8 Disember, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan sikap prihatin seorang anggota polis ketika menjalankan tugas.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh @mpv_shah, anggota polis dikenali sebagai Shah berkongsi pengalaman yang menyentuh hati sewaktu bertugas.
“Kerana polis manusia biasa. Polis menjalankan tugas, timbul rasa serba salah,” tulisnya dalam video tersebut.
Shah menceritakan bahawa semasa menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR), dia dan rakan sekerja menahan sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki sebuah keluarga.
@mpv_shah Polis menjalankan tugas, timbul rasa serba salah👮🏻♂️ (Kerana Polis Pun Manusia Biasa) #fyp #flypシ #fypシ #fypシ゚viral #mpv_shah #pdrm @TenggoKilo ♬ Lagu Sedih Menyentuh – Sihon oye
Pemandu kenderaan tersebut telah disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.
Kenyataan Pemandu Sentuh Hati Polis
Apa yang menyentuh hati Shah adalah kata-kata pemandu berkenaan setelah saman dikeluarkan.
“Selesai kami menulis saman, pemandu itu berkata, ‘Hari ini banyak malang, pergi cari kerja tak dapat, mahu balik rumah tapi saman pula yang dapat,’” kongsi Shah.
Kenyataan itu menyebabkan Shah berasa serba salah, walaupun tindakannya adalah sebahagian daripada tugas.
Polis Mohon Maaf & Tunjuk Sikap Prihatin
Walaupun berasa bersalah, Shah tetap mengutamakan integriti dengan mengeluarkan saman. Namun, dia mengambil inisiatif untuk berjumpa kembali pemandu tersebut untuk memohon maaf.
Shah turut bertanya mengapa pemandu itu tidak menjelaskan kesusahan yang dihadapinya lebih awal.
Tindakan Shah mengeluarkan saman adalah untuk mengingatkan pemandu berkenaan tentang pentingnya keselamatan, terutama untuk isteri dan anak-anaknya.
Keluarga Belum Makan Seharian
Ketika Shah bertanya sama ada mereka sudah makan, jawapan si isteri sekali lagi menyentuh hatinya.
“Isterinya terlepas cakap mengatakan mereka semua belum makan lagi,” tambah Shah.
Melihat situasi tersebut, Shah memberikan sumbangan dipercayai berupa wang tunai kepada keluarga itu sebagai belanja makan.
Shah menegaskan tindakannya bukan dilakukan kerana wujudnya kamera badan, tetapi atas dasar kemanusiaan.
“Bukan sebab ada kamera di badan tapi sebab ada hati dan perasaan. Keluarkan saman adalah satu tugasan, supaya kesalahan tidak berulang,” tulisnya lagi.
Ramai Puji Sikap Prihatin Polis
Video yang telah meraih lebih 806,000 tontonan itu mendapat perhatian ramai.
Di ruangan komen, warganet meluahkan rasa kagum dan memuji tindakan Shah yang profesional tetapi tetap prihatin terhadap kesusahan orang lain.
Ada juga yang mendoakan agar Shah diberkati dengan rezeki atas sifat ihsannya.
Namun, segelintir pengguna berpendapat bahawa pemandu tersebut mungkin tidak memiliki lesen memandu kerana kesempitan wang.
Antara komen pengguna TikTok:
“Tahniah atas keprihatinan anda walaupun tetap tegas menjalankan tugas.”
“Semoga Allah murahkan rezeki abang polis yang baik hati ini.”