Ramai masih keliru status wuduk selepas terpijak tahi cicak, ini penjelasan mufti

Photo of author

By Syima Iza

Ramai masih keliru status wuduk selepas terpijak tahi cicak, ini penjelasan mufti.

Masalah tahi cicak bukan sahaja berlaku di rumah kita, malah ia juga merupakan situasi yang biasa di masjid.

Pastinya ramai jemaah yang pernah terpijak atau terkena tahi cicak sehingga mereka keliru tentang status wuduk untuk meneruskan solat.

Ramai masih keliru status wuduk selepas terpijak tahi cicak, ini penjelasan mufti

Menjawab persoalan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah al-Bakri berkata, tahi cicak secara umumnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah.

Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i, tahi, najis, dan air kencing yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.

Sekalipun pada asalnya mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan, dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada haiwan yang dimakan ataupun tidak dimakan, namun terdapat beberapa keadaan di mana ia boleh dimaafkan. Ini berlaku dalam keadaan ‘Umum al-Balwa’, iaitu situasi di mana keberadaan najis itu sukar untuk dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air, tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir dalam badannya, termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama. Maka ia dianggap najis, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. [Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab; Nihayah al-Muhtaj]

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.

2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.

3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.

4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.

5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. [Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah]

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.

Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya.

Walau bagaimanapun, jika seseorang ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum solat didirikan.

Hal ini kerana antara syarat sah solat ialah kebersihan daripada najis pada badan, pakaian, dan tempat solat.

Oleh kerana tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan benda tersebut terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna, dan rasa.

Dalam situasi di ruang solat (surau/masjid), sekiranya tahi cicak itu boleh dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat.

Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidak merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam kategori ‘Umum al-Balwa.

Baca Lagi:
Pesohor TikTok ajak orang ramai naik Ferrari percuma pada 11 Januari ini
Wanita sedekah RM1 terkejut dengar ayat yang keluar dari mulut pengemis ini
Bolehkah wanita berbaju lengan pendek baca al-Quran?