Ramai masih keliru, penyampai radio tampil kongsi perbezaan Deepavali dan Diwali.
Hari Deepavali merupakan salah satu perayaan penting bagi masyarakat India beragama Hindu di seluruh dunia. Ia dikenali juga sebagai “pesta cahaya” yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengalahkan kejahatan, dan ilmu mengatasi kejahilan.
Menurut portal PBS, Deepavali disambut dengan pelbagai aktiviti dan pengisian, termasuk dari sudut ritual oleh penganut agama Hindu. Dalam tempoh perayaan ini, aktiviti seperti menziarahi sanak saudara, mengadakan pertunjukan bunga api, bersembahyang di kuil atau di rumah masing-masing, serta jamuan akan berlangsung.
Selain itu, perayaan ini juga dikenali dengan pelbagai hiasan lampu minyak dan ‘kolam’ atau ‘rangoli’. Biasanya, kita dapat melihat dekorasi ini di pusat beli-belah atau di rumah rakan-rakan yang menyambut Deepavali.
Sambutan perayaan Deepavali biasanya disambut mengikut kalendar Tamil pada hari ke-14 bulan Aipasi (antara bulan Oktober dan November). Deepavali berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ”Depa” yang bermaksud pelita atau cahaya dan ”Avali” yang bermaksud siri atau sebarisan. Apabila digabungkan, ia membawa maksud satu siri atau sebarisan cahaya, yang kemudian dikenali sebagai pesta cahaya.
Perkataan Diwali pula berasal dari perkataan Deepavali itu sendiri.
Perbezaan antara Deepavali dan Diwali
Namun begitu, ramai yang masih keliru dengan perbezaan penggunaan kedua-dua istilah ini, Deepavali dan Diwali. Maka, timbul pertanyaan, apakah Diwali sama seperti Deepavali? Jika tidak, apakah perbezaan dan asal-usul istilah tersebut?
Penyampai radio, Prem Shanker, baru-baru ini berkongsi perbezaan istilah antara Deepavali dan Diwali yang ramai tidak tahu menerusi TikTok @erasarawak. Menurut beliau, nenek moyang masyarakat India di Malaysia kebanyakannya berasal dari kawasan Selatan India. Mereka lazimnya bertutur dalam bahasa Tamil dan menggunakan istilah Deepavali untuk perayaan tersebut.
Manakala Diwali pula adalah istilah yang digunakan oleh penduduk yang tinggal di kawasan Utara India. Secara umumnya, Deepavali dan Diwali adalah perayaan yang sama tetapi dengan beberapa perbezaan, termasuk penggunaan istilah dari dua wilayah berbeza di India.
Di Malaysia, disebabkan majoriti masyarakat India berasal dari kawasan Selatan India dan berbahasa Tamil, maka ucapan Deepavali lebih sering digunakan.
Video berkenaan telah mendapat 212.5k tontonan setakat ini. Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih atas perkongsian yang dibuat oleh penyampai radio tersebut.
“Perbezaannya adalah Hindi dan Tamil,” komen seorang wargamaya.
“Penerangan yang jelas. Terima kasih kerana berkongsi. Sekarang baru faham,” komen seorang lagi wargamaya.
@erasarawak Tok soalan kita selalu tetanyak2 betol sik ? Dah terjawab dah geng! • #ERASarawak #Deepavali #fyp #happydeepavali ♬ original sound – ERA Sarawak