Ramai masih keliru hukum ucap, sambut perayaan bukan Islam, ini penjelasan mufti Pulau Pinang.
Memberi ucapan sambutan perayaan bukan Islam tidak menjadi kesalahan, asalkan tiada kandungan syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, hukum harus dalam memberi ucapan tersebut juga dilihat lebih sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, terutama di negeri berkenaan.
Katanya, dalam hal ini, umat Islam dituntut untuk menonjolkan cerminan Islam sebagai agama yang mesra kepada semua orang, sekaligus menarik hati orang bukan Islam kepada agama yang syumul itu.
“Namun begitu, keharusan ini adalah tertakluk kepada ucapan yang diberikan, ia tidak mengandungi syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Sukki berkata, hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti melibatkan simbol agama, berhala, dan seumpamanya.
Beliau berkata, majlis itu juga tidak seharusnya disertai dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, seperti memakai pakaian berwarna tertentu yang mempunyai kepercayaan tertentu yang melambangkan agama selain Islam.
“Selain itu, majlis juga tidak seharusnya disertai dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini, seperti percampuran bebas tanpa batas serta adab sopan.
“Majlis tersebut juga tidak boleh mengandungi perbuatan yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat Islam, seperti ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam serta ucapan yang menghina umat Islam, serta makanan haram seperti arak, babi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, hukum berkaitan persiapan perayaan orang bukan Islam yang berkaitan dengan agama mereka adalah diharamkan di sisi syarak dan pandangan ulama mazhab.
Namun, katanya, membantu mereka dalam perayaan kebudayaan memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci, menilai sejauh mana ia mempunyai unsur kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Jika unsur kepercayaan tersebut mendominasi, maka umat Islam hendaklah menjauhi tindakan membantu dan menjayakan persiapan perayaan tersebut,” katanya.
Bagi hukum menjual barangan khas yang digunakan oleh orang bukan Islam dalam perayaan agama mereka, ulasnya, ia tertakluk kepada syarat bahawa majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti melibatkan simbol agama, berhala dan sebagainya.
“Orang Islam boleh menjual barangan yang harus dijual kepada orang bukan Islam, seperti pakaian dan makanan, selagi mana tidak jelas perkara itu memberi kemaslahatan dalam upacara atau sambutan perayaan keagamaan mereka.
“Jika sudah jelas barang tersebut digunakan dalam perayaan keagamaan orang bukan Islam, maka umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terbabit, seperti menjual pakaian khas atau alat keagamaan bukan Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan hukum haram bagi umat Islam yang memakai pakaian sambutan perayaan agama lain yang mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan agama mereka dan mendedahkan aurat, seperti kostum Santa Claus, pakaian paderi, sami, dan lambang salib.
“Namun, pakaian yang menjadi adat kaum lain yang tiada kaitan dengan ajaran agama mereka secara khusus, seperti sari, kurta, samfoo, cheongsam dan sebagainya, secara asasnya adalah harus, selagi mana tidak terdapat unsur membesarkan agama orang bukan Islam serta masih memelihara aurat.
“Namun, sebaiknya umat Islam mengelakkan diri daripada memakai pakaian tersebut pada hari perayaan orang bukan Islam atas dasar sadd al-zari’ah, iaitu menutup sebarang peluang berlakunya tasyabbuh yang dilarang,” katanya.
Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 4/2019 yang bersidang pada 21 dan 22 Ogos 2019 membuat keputusan itu berdasarkan pembentangan hasil kajian yang dijalankan.