Ramai kecewa jalan ‘Glow in the dark’ di Selangor sudah tidak lagi bercahaya.
Idea garisan glow in the dark di jalan raya Malaysia dilihat sangat berpotensi, namun kos yang tinggi telah memaksa kerajaan untuk membatalkan penggunaannya buat masa ini.
Siapa sangka jalan glow in the dark pertama yang diperkenalkan di Semenyih kini sudah tidak bercahaya lagi seperti yang diharapkan oleh pengguna jalan raya?
Perkara ini mula disedari selepas tular sebuah video yang dikongsikan oleh akaun FB Hikmah Viral yang memperlihatkan lokasi terletaknya jalan glow in the dark kelihatan gelap selepas lampu kereta dimatikan di kawasan tersebut.
Dalam video yang dirakam oleh individu tersebut, kelihatan papan tanda Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat yang menyatakan bahawa jalan di seberangnya mempunyai garisan jalan yang bercahaya dalam gelap.
Walau bagaimanapun, apabila pemandu kereta itu mematikan lampu mereka, jalan raya tersebut menjadi gelap gelita, seolah-olah tiada langsung tanda-tanda jalan bercahaya dalam gelap. Kelihatan juga cat garisan yang sudah pudar, dipercayai akibat terhakis.
Perkongsian video yang tular itu segera menjadi bualan netizen, dan ramai meluahkan rasa kecewa dengan kualiti cat yang digunakan untuk menerangi jalan seperti yang diharapkan.
Ada pengguna jalan tersebut mendakwa bahawa keadaan itu boleh berlaku kerana banyak lori yang lalu lalang dan melanggar garisan glow in the dark itu, menyebabkan ia semakin terhakis sehingga akhirnya tidak lagi bercahaya.
Ekoran kebimbangan mengenai keselamatan pengguna jalan raya, netizen meminta pihak berwajib untuk memantau semula lokasi berkenaan atau mengecat garisan dengan warna putih yang reflektif seperti sebelum ini.