Rakyat Thailand berang dengan orang Malaysia, ‘perangai Malaysia jangan bawa ke sini’.
Tabiat parkir secara tidak bertanggungjawab oleh rakyat Malaysia kini melangkaui sempadan negara dan menjadi bualan hangat di Thailand.
Sebelum ini, tular kejadian sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dikecam selepas parkir sesuka hati di Hatyai, Thailand. Terbaharu, satu lagi insiden di Thepha, Thailand, telah membangkitkan kemarahan penduduk tempatan apabila sebuah kenderaan yang dipercayai milik rakyat Malaysia dirakam parkir secara serong, sehingga mengambil tiga ruang parkir sekaligus.
Gambar yang dikongsi oleh seorang netizen Thailand, รอฟีอ๊ะ หมัดโส๊ะ, di Facebook disertai dengan kapsyen sinis, “Ini kes lain. Orang Thailand semua dialu-alukan ke lot parkir Malaysia di Thailand. Kepada jiran kita, tolong hormati dan patuhi peraturan negara kami.”
Catatan tersebut menarik perhatian pengguna media sosial, termasuk rakyat Malaysia yang merasa malu dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemandu negara ini.
Ramai tampil di ruangan komen untuk memohon maaf dan mengecam tindakan pemandu terbabit.
Antara komen sinis yang mencuri perhatian adalah, “Maafkan mereka, mereka tinggalkan otak di sempadan,” dan “Malu betul, memalukan nama Malaysia.”
Sama ada di dalam atau luar negara, tindakan parkir sesuka hati ini jelas melanggar peraturan jalan raya dan menjejaskan pengguna lain. Malah, tabiat sebegini bukan sahaja mencerminkan sikap pemandu terbabit, tetapi turut mencemarkan imej negara di mata masyarakat antarabangsa.