Rakyat Malaysia ‘kantoi’ bawa kanabis bernilai RM3 juta ditahan di Ireland

Photo of author

By Syima Iza

Seorang lelaki warga Malaysia menghadapi pertuduhan berkaitan rampasan kanabis berjumlah 580,000 euro (RM3 juta) di Lapangan Terbang Dublin.

Media tempatan mendedahkan identiti tertuduh sebagai Adrian Mah Yew Beng, 39, dan tidak mempunyai alamat berdaftar di Republik Ireland.

“Yew Beng ditahan di Balai Polis Ballymun Garda setelah pemeriksaan bagasi miliknya di lapangan terbang itu pada pagi Rabu,” lapor The Irish Times.

Rakyat Malaysia 'kantoi' bawa kanabis bernilai RM3 juta ditahan di Ireland

Dia kemudiannya didakwa bawah Akta Penyalahgunaan Dadah berkaitan pengimportan kanabis yang menyalahi undang-undang dan memiliki narkotik untuk urus niaga.

Ketika sesi pendengaran di Mahkamah Daerah Dublin pada Khamis, tertuduh memaklumkan dia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memilih untuk tidak menjawab pertuduhan.

Pegawai penguat kuasa, Peter Elliot menggesa mahkamah supaya tidak mengeluarkan ikat jamin kepadanya dengan mengambil kira nilai dan saiz rampasan dadah.

Walaupun diberikan khidmat jurubahasa dan bantuan guaman berdasarkan keadaan kewangannya, Yew Beng enggan membuat sebarang pengakuan kepada hakim.

Sementara itu, peguamnya, Eoin Lysaght berkata, anak guamnya tidak memohon ikat jamin buat masa ini.

Hakim Shalon Binchy menetapkan sidang seterusnya pada minggu depan. – Agensi

Baca Juga:
Wanita maut jatuh dari kondominium tingkat 23 disyaki ditolak teman lelaki
Askar US bakar diri di hadapan kedutaan di Washington, jerit ‘Bebaskan Palestin’
Bayi hampir maut, suami isteri sedang ‘khayal’ dadah bancuh susu dengan syabu