Rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine dipercayai masih hidup – KPN

Photo of author

By Syima Iza

Rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine dipercayai masih hidup – KPN.

Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyertai perang antara Ukraine dan Rusia dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki berusia 20 tahun dari Kedah itu sebelum ini mengalami kecederaan akibat terkena serpihan dron tentera Rusia pada pertengahan Oktober lalu.

Rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine dipercayai masih hidup - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata risikan menunjukkan lelaki itu memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang melawan tentera Rusia.

“Berdasarkan risikan kami, subjek (lelaki berkenaan) menyertai peperangan di Ukraine kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji yang menarik antara USD400 hingga USD2,700 sebulan bergantung kepada tahap bahaya di medan perang.
“Selain itu, tekanan daripada keluarga juga dipercayai menjadi faktor yang mendorong subjek menjauhkan diri daripada keluarganya dan mencari pekerjaan di luar negara,” katanya.

Razarudin menambah, semasa serangan dron Rusia, lelaki itu dilaporkan cuba melarikan diri tetapi kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir, manakala pasportnya masih berada bersamanya.

“Subjek ini menamatkan pengajiannya di peringkat A Level di sebuah kolej di Petaling Jaya dan didapati tidak mempunyai sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial.

“Sebaliknya, dia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat untuk menjadi tentera,” katanya.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan bahawa polis masih menunggu maklum balas daripada pihak Kedutaan Rusia mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Rusia.

Terdahulu, tular penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.

Ada dakwaan di media sosial yang menyatakan kad berkenaan adalah milik rakyat Malaysia yang statusnya masih tidak dapat dipastikan sama ada terbunuh atau ditahan oleh tentera Rusia.

Dua dokumen pengenalan diri yang masih sah itu ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.

Baca Lagi:
5 senarai haiwan pelik yang pernah ditemui, no 2 macam ‘Komando’
Ramai masih keliru, penyampai radio tampil kongsi perbezaan Deepavali dan Diwali
Majikan diwajibkan tanam mikrocip pada haiwan peliharaan kucing & anjing