Rakyat Malaysia dicekup di Bangkok, aset bernilai RM1.7 juta dirampas.
Polis telah menahan seorang lelaki warganegara Malaysia berketurunan Cina bersama isterinya serta merampas aset milik mereka yang bernilai kira-kira 13.3 juta baht (RM1.7 juta) di Bangkok, lapor laman berita Khaosod semalam.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Hao, manakala isterinya, yang merupakan rakyat Thailand, dikenali sebagai Patama.
Barangan yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah 4 juta baht (RM522,000), barangan kemas, jam tangan mewah termasuk Patek Philippe bernilai 2 juta baht (RM261,000) dan Rolex GMT Root Beer bernilai 600,000 baht (RM78,000), 16 beg tangan berjenama, minuman keras import dan sebuah kenderaan Toyota Alphard.
Dia ditahan dalam operasi anti pengubahan wang haram yang dijalankan di negara itu.
Polis Siber Thailand mengesan satu skim terancang yang melibatkan Hao dan isterinya dalam penubuhan syarikat palsu bagi tujuan pengubahan wang haram hasil perjudian dalam talian.
Operasi yang dijalankan semalam melibatkan serbuan di lima lokasi di empat wilayah iaitu Bangkok, Nonthaburi, Samut Prakan, dan Ayutthaya.
Menurut penyiasat, pasangan itu telah tinggal bersama selama tiga tahun dan menjalankan pelbagai perniagaan termasuk kedai arak di Ekkamai dan kolam memancing udang di Ramkhamhaeng. Tempat-tempat ini digunakan sebagai medan untuk aktiviti pengubahan wang haram mereka.
Pemangku Komander Biro Siasatan Jenayah Siber, Leftenan Jeneral Polis Trairong Phiwphan menyatakan bahawa terdapat trend yang membimbangkan di mana warga asing berkahwin dengan rakyat Thailand untuk mendapatkan hak pemilikan perniagaan yang sah.