Rakyat Malaysia bakal dapat Kad Pengenalan baharu, MyKad lama akan dimansuhkan.
Tidak lama lagi, rakyat Malaysia bakal menerima kad pengenalan baharu yang akan menggantikan MyKad sedia ada yang diperkenalkan sejak tahun 2012.
Menurut laporan Buletin TV3, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menyatakan bahawa penggantian kad pengenalan baharu ini bertujuan meningkatkan ciri keselamatan. Kad baharu ini akan hadir dengan rekaan lebih moden serta dilengkapi elemen seperti tulisan laser dan hologram. Ia juga diperbuat daripada bahan polycarbonate yang telah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.
“Ia bertujuan membendung sebarang cubaan pemalsuan dan penyalahgunaan MyKad, yang merupakan dokumen penting bagi rakyat Malaysia,” jelasnya ketika menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah bahawa kad pengenalan baharu ini akan dilengkapi ciri keselamatan berkapasiti storan lebih besar dengan piawaian keselamatan yang dipertingkatkan. “Kad ini direka untuk mengatasi masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data. Ciri keselamatan terkini ini diyakini mampu menangani isu tersebut,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias, sebelum ini memaklumkan bahawa semua fungsi MyKad lama akan dimansuhkan sebaik sahaja MyKad generasi baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan.
Difahamkan, JPN sedang menjalankan kajian pasaran untuk memastikan pelaksanaan MyKad baharu ini memenuhi prinsip nilai faedah terbaik berbanding kos penggantian.
“Usaha ini bertujuan memastikan kos pengeluaran yang tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum selaras dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” tambah beliau.