Rakan dedah Ronaldo ada hajat peluk Islam.
Bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah, membuat kenyataan mengejutkan bahawa bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, memikirkan untuk memeluk agama Islam.
Ketika muncul dalam program televisyen baru-baru ini, Waleed bercakap mengenai minat mendalam Ronaldo terhadap budaya tempatan di Arab Saudi.
Menurut Waleed, kesediaan Ronaldo untuk memeluk Islam adalah hasil daripada hubungan baiknya dengan masyarakat Saudi.
“Ronaldo jujur dengan hasratnya untuk memeluk Islam. Dia menunjukkan minat ketika saya berbincang dengannya,” kata Abdullah.
Dia juga merujuk kepada gaya sujud Ronaldo ketika meraikan jaringan dan galakan yang diberikan kepada rakan sepasukan di Al Nassr untuk mematuhi ajaran agama sebagai antara bukti bahawa bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu menghormati tradisi dalam Islam.
Menurut Waleed lagi, ikon bola sepak itu mempelajari ajaran Islam dan budaya dengan konsisten bagi meningkatkan hubungan persefahaman dengan rakan sepasukannya di Al Nassr. Malah, lebih mengejutkan, Ronaldo memastikan rakan sepasukannya mempunyai masa untuk solat di antara sesi latihan.
“Ketika azan berkumandang ketika latihan, Ronaldo meminta jurulatih berhenti seketika sehingga tamat azan,” kata bekas penjaga gol itu.
Waleed juga menyatakan bahawa Ronaldo sangat berminat dengan kehidupan masyarakat tempatan ketika pertama kali tiba di Arab Saudi.
“Pada awalnya, saya rapat dengan Cristiano kerana dia tidak biasa dengan budaya di negara ini, kelab atau aspek lain. Tetapi dia mahu belajar dan kerap bertanya saya dengan lebih lanjut,” kata Waleed.
Dia turut mendapat inspirasi untuk mempelajari lebih lanjut mengenai budaya Islam melalui pengaruh bekas rakan sepasukan, Mesut Özil dan Karim Benzema.