Raja dadah dicekup polis setelah ‘dikantoikan’ isteri dalam IG.
Gara-gara isteri aktif mempamerkan gaya hidup di Instagram (IG), seorang ‘raja dadah’ Brazil akhirnya ditangkap polis baru-baru ini, selepas lelaki itu diburu selama dua tahun.
Ia berlaku apabila pihak berkuasa berjaya menjejaki lokasi berdasarkan hantaran wanita terbabit di media sosial itu.
Metro UK melaporkan Ronald Roland, 50, ditangkap di kondominiumnya di bandar pantai Guaruja kerana disyaki menjalankan pengubahan wang haram dan terbabit dengan kartel dadah di Mexico.
Pihak berkuasa berkata, Roland mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan dadah Mexico. Lelaki itu ditahan ketika isteri keduanya, Andrezza de Lima Joel, dan anak perempuan mereka sedang tidur di kondominium.
Polis berjaya mengesan Ronald selepas Andrezza menyiarkan gambar pasangan itu di IG, menurut rancangan hal ehwal semasa TV Globo, Fantastico.
Andrezza mempamerkan perjalanan mewah suaminya ke Paris, Dubai, Maldives, dan Colombia yang secara tidak sengaja membantu polis memantau keberadaan Roland melalui maklumat di platform media sosial itu.
Tetapi ini bukanlah kali pertama Roland ditahan kerana aktiviti media sosial isterinya, sebaliknya sudah kali kedua ‘dikantoikan’ isterinya di IG.
Sebelum ini, Roland ditangkap pada Julai 2019, yang mana pada masa itu, dia berada dalam senarai dikehendaki Polis Antarabangsa. Pada masa itu, bekas isterinya menandakan lokasi pasangan itu di media sosial, sebagai di Zon Timur Sao Paulo.
Dia dibebaskan pada tahun berikutnya.
Roland dikatakan mengumpul kekayaan 5 bilion Real (kira-kira RM4.3 bilion) dalam tempoh lima tahun, kata polis persekutuan.