Rafizi ‘sekolahkan’ Hamzah dalam bab pertumbuhan ekonomi

Photo of author

By Syima Iza

Rafizi ‘sekolahkan’ Hamzah dalam bab pertumbuhan ekonomi. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ‘menyekolahkan’ Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat mengenai pertumbuhan ekonomi dengan mendakwa Ketua Pembangkang itu kurang pengetahuan mengenai perkara berkenaan.

Ia selepas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu, mempersoalkan ketepatan angka diberikan Rafizi.

“Saya bersyukur kerana kini seluruh negara dan dunia dapat melihat pemimpin pembangkang tidak memahami konsep pertumbuhan ekonomi,” katanya sambil mengundang ketawa di Dewan Rakyat.

Rafizi 'sekolahkan' Hamzah dalam bab pertumbuhan ekonomi

Terdahulu, Rafizi menjelaskan keputusan di sebalik penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang disasarkan untuk membantu kerajaan dalam merancang, melaksana dan memantau ekonomi.

Bagi memenuhi sasaran itu, beliau berkata, majlis berkenaan akan bertindak sebagai penasihat ekonomi utama kerajaan, memberi tumpuan kepada penyelarasan keputusan di pelbagai kementerian dan agensi untuk menyelesaikan isu struktur ekonomi.

Rafizi kemudian menyatakan bahawa Malaysia sudah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus pada 2022, berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, walaupun angka itu kelihatan memberangsangkan, pertumbuhan suku ke suku dicatatkan sepanjang tahun lalu, menunjukkan penurunan yang stabil, iaitu daripada 3.8 peratus kepada 3.5 peratus pada suku pertama, manakala masing-masing 1.9 peratus dan -2.4 peratus pada suku berikutnya.

Dalam soalan tambahannya, Hamzah berkata, Rafizi mungkin keliru dengan nombor diberikannya.

“Apabila anda menyebut pertumbuhan ekonomi 8.7 peratus untuk 2022, bagaimana angka itu boleh turun setiap suku tahun kerana purata itu, terlalu rendah berbanding 8.7 peratus.

“Saya rasa ada ralat. Tak apa, boleh betulkan, sebab tak boleh macam tu,” kata Hamzah.

Pada ketika itu, Rafizi membidas Hamzah dengan mendakwa Hamzah tidak memahami perkara terbabit, sebelum terus ‘menyekolahkan’ pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkenaan.

“8.7 peratus ialah pertumbuhan tahunan yang membandingkan saiz ekonomi kita pada 2022 hingga 2021. Tetapi kita juga perlu melihat bagaimana ekonomi berkembang dari suku ke suku.

“Apa yang saya nyatakan sebelum ini ialah kadar pertumbuhan dari satu suku ke suku lain sepanjang 2022. Ini penting untuk kita memahami sama ada ekonomi bertambah baik atau merosot.

“Ini adalah angka diberikan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan. Bukan hak saya untuk membetulkan data, tetapi ketua pembangkang harus pulang dan membetulkan pemahaman anda mengenai pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi menjelaskan, pertumbuhan KDNK tahun lepas sebanyak 8.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan prestasi ekonomi lemah pada 2021, ketika negara dan ekonomi berada di bawah sekatan separa akibat pandemik COVID-19.

Mengenai keahlian EAC, Rafizi berkata, pelantikan itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

Baca Lagi:
Cashier Restoran Arab terkenal ‘kantoi’ didakwa caj RM98 padahal RM29 jer
Tular ucapan ‘rasis’ bekas pemain badminton negara, ini respons Datuk Lee Chong Wei
Syed Saddiq nak kahwin?