Rafizi cabar Syahir pula berdebat hal ehwal ekonomi selepas Sanusi dan Azmin tolak

Photo of author

By Syima Iza

Rafizi cabar Syahir pula berdebat hal ehwal ekonomi selepas Sanusi dan Azmin tolak.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli kini beralih arah dengan mencabar Penolong Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.

Cabaran itu diutarakan oleh Rafizi selepas bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak berdebat dengannya.

Rafizi cabar Syahir pula berdebat hal ehwal ekonomi selepas Sanusi dan Azmin tolak

“Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam Perikatan Nasional (PN) tampil ke hadapan dan kita sudah beri ruang sepenuhnya.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada dia dan saya tunggu dia nak jawab apa,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat malam tadi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau akan terus meminta untuk berdebat dengan wakil PN kerana budaya ini seperti ini perlu dibawa demi pembaharuan negara.

“Ditambah lagi tokoh-tokoh daripada PN ini berkali-kali memainkan sentimen yang tidak ada asas mengenai keadaan ekonomi negara.

“Inflasi sudah turun, prestasi pasaran saham naik baik tetapi mereka masih membohongi rakyat dan mengulangi benda yang tidak betul.

“Kalau zaman saya pembangkang dahulu, saya yang mencabar menteri untuk berbahas, tetapi menteri tak nak. Jadi, sekarang kita sudah beri ruang sepenuhnya,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengingatkan kepada PN, sekiranya mereka berdolak-dalih, pengundi atas pagar akan menganggap bahawa mereka tidak berani berdebat dengannya.

“Mereka boleh sahaja pusing macam mana, tetapi pengundi atas pagar akan mengambil kira bila tidak berani berdebat itu, maksudnya kamu tidak ada idea dan perancangan untuk ekonomi.

“Itu juga cara terbaik untuk saya menjawab tuduhan-tuduhan tak berasas selama ini,” katanya.

Baca Lagi:
Tidak mahu keluarga Allahyarham TG Nik Aziz bertapak di Pengkalan Chepa, Adik dedah ‘dalang’ sebenar tolak pencalonan Nik Abduh
Dron terhempas hempap atas kepala, penyokong parti cedera semasa penamaan calon di Kedah
Sepasang suami isteri nekad jual anak usia 8 bulan sebab nak beli iPhone 14 untuk buat reels