Puteri Sarah terkejut ditawar RM15,000 sebagai ‘peneman’ VIP

Photo of author

By Syima Iza

Pelakon Puteri Sarah Liyana atau Sarah, 39, terkejut apabila seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon Nadia Brian menawarkannya untuk menjadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000.

Sarah, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, berkata kejadian itu berlaku minggu lalu dan pada mulanya dia menyangka ajakan tersebut adalah untuk tujuan kerja.

“Dia bertanya jam berapa saya habis ‘shooting’. Dia meminta saya berjumpa seseorang yang dikenali sebagai Datuk Shahrul pada jam 10 malam. Saya bingung, adakah pertemuan itu untuk tawaran kerja? Adakah penerbit baharu?

Puteri Sarah terkejut ditawar RM15,000 sebagai 'peneman' VIP

“Selepas itu, dia cakap, foto dan video dilarang. Dia cakap untuk teman-teman minum kopi, bayaran RM15,000. Saya bertegas kepadanya, saya tak buat kerja-kerja begitu. Selepas penggambaran, terus balik ke pangkuan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pelancaran drama TV3 berjudul Polis Peronda di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.

Pada awalnya, Sarah memang menyangka wanita itu adalah Nadia kerana suaranya pun mirip. Mengesyaki sesuatu tidak kena, dia terus menghubungi Nadia untuk mendapatkan kepastian.

“Wanita itu mula menghubungi saya pada jam 9 pagi. Cara dia bercakap pun macam Nadia. Sebab saya pun baru jumpa Nadia pada malam sebelumnya di majlis resepsi Janna Nick.

“Saya rasa sesuatu tak kena, lalu terus hubungi Nadia. Saya tanya sama ada dia ada nombor telefon berbeza dan dia jawab tak ada. Saya beritahu tentang orang yang menggunakan nombornya untuk menyamar jadi dia.

“Rasanya tempoh hari Nadia ada masukkan dalam Instagram dia,” katanya.

Kebetulan sedang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, untuk menjayakan penggambaran drama Polis Peronda, Sarah terus membuat laporan mengenai kes yang menimpanya itu.

Polis Peronda itu turut dibintangi Shah Iskandar, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi. Intipatinya menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam melalui jalan cerita yang penuh dengan aksi, misteri dan emosi.

Drama terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. dan arahan Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan itu ditayangkan bermula 28 Jun, setiap Jumaat, jam 10 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton.

Baca Juga:
‘Bagus betul pemilik kereta tak sombong’
Arab Saudi arah pendekkan tempoh khutbah Jumaat kepada 15 minit
Pengantin perempuan pengsan terkejut dijodohkan dengan lelaki 35 tahun lebih tua