‘Pulanglah sayang’ – Lelaki hilang isteri selepas bangun tidur.
Mungkin suratan atau kebetulan buat Mohd Khaderi Mat Rajemin dan Muhammad Haziq Azri Jumadi yang berkongsi ujian sama iaitu ditinggalkan isteri masing-masing pada 11 Disember lalu.
Malah, hingga kini Mohd Khaderi, 36, dan Muhammad Haziq Azri, 37, masih menunggu kepulangan isteri tercinta walaupun tiada khabar berita daripada kedua-duanya.
Berkongsi kisahnya, Mohd Khaderi yang berasal dari Taman Permatang Badak, Kuantan menyedari kehilangan isteri, Wan Nuranyza Wan Zainal Abidi, 30, selepas bangun tidur, jam 6.30 pagi, 11 Disember.
Menurut Mohd Khaderi, isterinya pergi tanpa sebarang pesan dengan menaiki Perodua Viva, membawa telefon bimbit, dompet dan dokumen penting bersama sijil kelahiran tiga anak mereka yang berumur tiga, lapan serta 11 tahun.
Mohd Khaderi berkata, laporan dibuat tiga hari selepas kehilangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang, begitu juga dengan usaha menjejak isterinya sehingga ke Kemaman, Terengganu namun belum membuahkan hasil.
“Hubungan saya dan isteri amat baik malah kami tidak bertengkar. Isteri juga tidur di sebelah saya malam sebelum kehilangannya.
“Kami bekerja di tempat sama iaitu di kedai makan, dia tidak bersosial atau gemar berkongsi gambar di laman sosial. Pada masa sama, isteri tidak suka tempat sesak.
“Cuma, beberapa hari sebelum kejadian, isteri beritahu yang saya lebih pentingkan kawan.
“Kami tetap bertegur selepas itu namun entah kenapa, isteri tiba-tiba tinggalkan saya. Puas saya berusaha menghubunginya namun tiada jawapan. Saya buntu kerana tidak tahu di mana isteri berada,” katanya.
Menurut Mohd Khaderi, ikhtiar lain dilakukannya adalah dengan memuat naik hantaran di Facebook (FB) dan bertemu pengamal perubatan Islam.
“Saya buat hantaran di kumpulan Orang Hilang di FB dan menerima maklumat daripada seorang individu yang mendakwa ada terlihat wanita mirip isteri di sekitar Balok pada waktu pagi yang berjalan dengan berkaki ayam.
“Pengamal perubatan Islam yang ditemui pula mengatakan ada rakan perempuan sembunyikan isteri.
“Polis maklumkan belum ada petunjuk. Sudah lebih sebulan isteri hilang dan saya kerap menangis kerana merinduinya.
“Anak pula ada yang demam malah kerap bertanya ibu mereka,” katanya.
Mohd Khaderi berkata, tiada apa diharapkannya melainkan mahu Wan Nuranyza kembali ke pangkuan mereka.
“Dia isteri baik, tidak pernah melawan atau meninggikan suara kepada saya. Namun, seandainya dia ikut lelaki lain, saya tetap menerimanya kembali.
“Pulanglah demi anak dan saya tidak salahkannya walau apa pun sebabnya kerana mungkin silapnya berpunca daripada saya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Wan Nuranyza boleh menghubungi Mohd Khaderi di talian 010-5396456.
Sementara itu, Muhammad Haziq Azri berkata, kali terakhir dia melihat isteri, Farhaniah Jebat, 35, adalah ketika menghantar wanita itu ke tempat kerja di pasar raya di Kota Masai, Pasir Gudang, Johor yang terletak berhampiran kediaman mereka.
“Isteri bekerja sebagai jurujual di situ dan pada hari kejadian, syif kerja bermula jam 1 tengah hari sebelum berakhir jam 9 malam.
“Petang hari kejadian, saya kirim mesej melalui aplikasi WhatsApp kepadanya namun tidak berbalas.
“Saya dimaklumkan isteri keluar dari tempat kerjanya jam 2 petang. Saya ada cari isteri di rumah mentua namun tidak menemuinya,” katanya.
Menurut Muhammad Haziq Azri, dia melaporkan kehilangan isterinya di IPD Seri Alam, Masai.
“Bagaimanapun, ketika itu, polis memaklumkan, isteri saya ada membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor mengatakan dia keluar rumah dengan rela hati. Ia menyebabkan polis tidak dapat menjalankan siasatan kerana ia bukan kes jenayah.
“Sejak hilang, anak kami (Fathurrahman Azri, 7) kerap bertanya namun saya beri alasan ibunya akan pulang selepas habis bekerja,” katanya.
Maklumat berkaitan Farhaniah boleh disalurkan kepada Muhammad Haziq Azri di talian 017-7547163.
Muhammad Haziq Azri yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia cuba menghubungi isterinya namun tidak berhasil malah berusaha menjejak wanita berkenaan di sekitar ibu kota dan Selangor namun hampa.
Menurutnya, dia tidak tahu apa punca wanita berkenaan keluar dari rumah kerana mereka tidak pernah bertengkar, apatah lagi memukul isterinya itu.
Dia juga sanggup berbincang berkaitan hal berbangkit jika wanita berkenaan kembali.
“Hanya isteri tahu punca sebenar. Setiap hari saya berdoa selain menunaikan solat hajat supaya Allah SWT buka hati isteri untuk pulang.
“Saya mohon isteri pulang kerana bukan saya saja yang rindukannya, malah anak juga kerap menangis kerana mahu bersama,” katanya.