“Puas hati…”- Doktor wanita belasah penjual roti sebab inti sikit.
Seorang doktor wanita di Medan, wilayah Sumatera Utara, telah memukul seorang penjual roti gara-gara tidak berpuas hati dengan inti roti yang sedikit, lapor laman berita Detik hari ini.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), doktor tersebut tiba-tiba muncul dan melempar bungkusan roti ke arah penjual berkenaan. Dia kemudian menarik rambut penjual roti yang dikenali sebagai Fitra Samosir, memukulnya tanpa henti, dan turut menendang mangsa.
Menurut Fitra, kejadian itu berlaku pada waktu petang ketika doktor tersebut datang membeli roti di gerainya.
“Dia memang ada datang membeli roti pada waktu petang. Dia memesan roti bakar Bandung coklat keju,” kata Fitra sambil menambah bahawa insiden itu berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan).
Fitra turut berkata bahawa sebelum doktor tersebut berlalu pergi, dia sempat bertanya sebab wanita berkenaan menyerangnya secara tiba-tiba.
“Sebelum pergi, barulah dia memberitahu bahawa inti roti bakar itu sedikit,” katanya.
Doktor tersebut sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu apabila videonya bertengkar dengan seorang wanita lain mengenai tempat parkir di sebuah hospital menjadi tular di media sosial.
Susulan kejadian terbaru ini, Fitra telah membuat laporan polis berhubung serangan yang dialaminya.