Proton Wira jadi ‘King’ baharu, selamba redah banjir di Kelantan buat netizen kagum.
Sebuah kereta jenis Proton Wira mencuri tumpuan apabila pemandunya mengambil risiko untuk meredah banjir di Jambatan Kampung Belanga, dekat Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di TikTok P3YY, video tersebut memaparkan keadaan jambatan yang sudah ditenggelami air akibat limpahan Sungai Pahi.
Dalam video berdurasi 12 saat itu, kenderaan terbabit berjaya meredah banjir yang deras tanpa sebarang kesukaran.
Difahamkan, Jambatan Kampung Belanga itu merupakan laluan utama dan sering digunakan penduduk kampung untuk ke Bandar Kuala Krai.
Sehubungan itu, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum dengan keupayaan kenderaan tersebut.
“Wira dah ambil alih pangkat Perodua Myvi jadi king baharu,” kata Ru.
“Sebab ini kita pakai Wira juga. Makin naik harga lah Wira lepas ni,” ujar Ziggo.
“Memang betul-betul ‘wira’. Kereta lain pun tak berani,” jelas Kelly.
Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai Jie menyarankan pihak berkaitan untuk menaik taraf jambatan tersebut bagi mengelakkan ia dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
“Setiap tahun naik air dekat Kampung Belanga ini. Bagi saya, kenapa tak bina jambatan tinggi sikit?” Soalnya.