Polis Thailand kongsi tip untuk pelancong Malaysia yang bawa kereta masuk ke Thailand.
Thailand merupakan salah satu destinasi pelancongan kegemaran rakyat Malaysia. Selain bersempadan dengan negara ini, faktor kepelbagaian makanan serta kos percutian yang lebih murah menjadi tarikan utama ke sana.
Terdapat beberapa mod pengangkutan yang boleh dipilih untuk ke Thailand. Jika anda mahu sampai dengan cepat, pengangkutan udara melalui penerbangan tempatan adalah pilihan terbaik.
Bagi mereka yang inginkan pengalaman perjalanan yang berbeza, pengangkutan darat seperti kereta api juga boleh dipertimbangkan. Selain itu, anda juga boleh memandu kenderaan sendiri masuk ke Thailand, yang mana cara ini sebenarnya cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil tahu sekiranya anda memilih untuk memandu, sama ada kenderaan sendiri atau kereta sewa, ketika berada di Thailand.
“Lesen kena…”, polis dedah tip penting jika pelancong Malaysia mahu memandu di Thailand
Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh akaun @dadunayu.thai, seorang anggota polis Thailand menjelaskan beberapa perkara berkaitan lesen memandu, yang menjadi pertanyaan ramai rakyat Malaysia.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang ingin memandu di Thailand perlu membawa lesen memandu bersama sepanjang masa.
“Ramai yang tanya saya cara guna lesen Malaysia di Thailand. Sekarang, lesen Malaysia ada dua jenis iaitu digital dan kad.
@dadunayu.thai Ingin memandu di Thailand? Berikut adalah tips penting untuk rakyat Malaysia menggunakan lesen memandu di Thailand. #LesenMemandu #MemanduDiThailand #RakyatMalaysia #TravelTips #SelamatDiJalan #PelancongMalaysia #PerjalananSelamat #JalanThailand #MemanduSelamat#fypp ♬ เสียงต้นฉบับ – preedee
“Jadi, kalau boleh, simpan lesen digital dalam telefon pintar dan bawa lesen dalam bentuk kad juga sebagai persediaan,” jelasnya.
Difahamkan, pelancong Malaysia digalakkan untuk mencetak lesen digital mereka dan membawanya bersama jika memandu kereta atau motosikal di Thailand.
Menurut @dadunayu.thai, ini adalah langkah berjaga-jaga sekiranya anda ditahan oleh pihak berkuasa di sana.
“Ia akan menjadi masalah jika ada anggota polis yang tidak menerima lesen memandu digital. Jadi, anda perlu membawa lesen yang dicetak sekali,” tambahnya lagi.
Video berkenaan meraih 1.1 juta tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya berterima kasih atas perkongsian maklumat oleh @dadunayu.thai.
“Terbaik kerjasama info dari polis Thailand,” komen seorang warganet.
“Ikut undang-undang negara yang dikunjungi. Jadilah warganegara yang berhemat,” tambah seorang lagi.
Pada masa yang sama, ramai juga tertarik dengan kesungguhan @dadunayu.thai menyampaikan maklumat tersebut dalam dialek Melayu Patani, yang kedengaran mirip dialek Kelantan, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia memahami pesanan yang disampaikan.