Polis Thailand dedah cerita sebenar penangkapan 6 rakyat Malaysia bersama ribuan pil kuda.
Polis Sungai Golok mendakwa banyak spekulasi yang tidak benar berhubung penahanan enam suspek warga Malaysia di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol. Kol. Jadsadavit Inprapan, berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut prosedur yang betul tanpa mengira status suspek, sama ada individu terkenal atau orang biasa.
“Kami tidak kenal mereka siapa,” katanya.
Menurutnya, setiap kes disiasat dengan adil, sama ada melibatkan kesalahan dadah atau jenayah lain yang berlaku di kawasan Sungai Golok.
“Ada yang mendakwa mereka diperangkap atau dikhianat apabila ada dakwaan dua individu dipercayai melarikan diri. Siasatan mendapati semua dadah itu dijumpai di bawah sinki dalam bilik tempat kesemua suspek berada.
“Kami menjalankan operasi antara pukul 1 hingga 2 pagi di hotel itu sebelum menyerbu bilik keenam-enam suspek pada pukul 5 pagi dan mereka semua ada di situ,” ujarnya.
Jadsadavit berkata, selain itu, ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah dan keputusan awal itu biasanya digunakan untuk setiap kes dadah.
Menurutnya, selain sampel urin, keputusan forensik mengenai pil kuda yang dijumpai dan cap jari akan diperoleh dalam tempoh tidak lebih daripada sebulan selepas tangkapan suspek.
“Banyak pihak yang mengeluarkan pelbagai spekulasi yang tidak benar mengenai kes ini, tetapi ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.
“Jadi, polis menahan mereka berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, iaitu sebanyak 6,000 biji pil kuda dan keputusan ujian urin kesemua suspek,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita terkenal dari Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada Jumaat minggu lalu.
Tiga lelaki dan tiga wanita, termasuk penyanyi terbabit, ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam serbuan ketika mereka sedang berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak di bawah hotel tersebut.
Sumber: Kosmo