Menurut Muhammad Tariq Haikal, seorang saksi yang berusia 24 tahun, mangsa sedar kira-kira lima minit dan pengsan selepas dipesan supaya mengucap kalimah syahadah. Beliau menyaksikan sendiri kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, petang tadi.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 47 tahun yang telah meninggal dunia, disebut-sebut sempat sedar kira-kira lima minit selepas kereta yang dia naiki dihempap oleh pokok dan dia terkena di bahagian kepala.
Haikal berkata, semasa kejadian itu, beliau yang bekerja sebagai ejen hartanah berada di pejabat berdekatan dengan lokasi insiden tersebut.
“Angin sangat kuat waktu itu dan tiba-tiba kami dengar bunyi pokok tumbang dan menghempap beberapa kenderaan di laluan sekitar.
“Suasana menjadi senyap seketika kerana semua terkejut. Ada staf di pejabat ini yang menghubungi pihak monorel untuk menghentikan perjalanan di laluan itu.
“Saya keluar dari pejabat untuk membantu pemandu sebuah kenderaan (mangsa yang meninggal dunia) yang tersepit disebabkan dahan pokok yang menembusi dari bahagian tempat penumpang depan sehingga ke tempat pemandu,” katanya.
Dalam situasi yang kelam kabut itu, dia bersama beberapa orang awam membantu mengangkat dahan yang menghempap bahagian kepala lelaki tersebut.
“Beliau (mangsa) sedar kira-kira lima minit dan ada orang lain yang sempat pesan kepadanya supaya mengucap (dua kalimah syahadah) sebelum dia pengsan.
“Apa yang saya nampak ketika itu, hanya dia seorang dalam kereta,” katanya.
Haikal juga menyatakan bahawa orang lain yang menyaksikan situasi tersebut jelas traumatik dan melarikan diri ke kawasan hotel berhampiran.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia manakala dua lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berdekatan sebuah hotel, di sini, petang tadi.