PM arah PDRM siasat rapi kes Faisal Halim, Zayn Rayyan

Photo of author

By Syima Iza

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan rapi terhadap kes simbah asid ke atas pemain Harimau Malaya, Faisal Halim, dan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Dalam ucapan di Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memahami keresahan rakyat berhubung kezaliman tersebut.

“Ketika ini, riuh rendah tentang kes penderaan pemain bola sepak dan pembunuhan seorang kanak-kanak OKU.

PM arah PDRM siasat rapi kes Faisal Halim, Zayn Rayyan

“Kita prihatin. Saya kebetulan Perdana Menteri, tetapi saya juga manusia.

“Saya ingin tahu mengapa perkara sebegini boleh berlaku dan siapa yang sanggup mendera serta membunuh seorang anak dengan kejam,” katanya pada Jumaat.

Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dipanggil untuk membincangkan perkara tersebut.

“Pada masa kini, dalam TikTok, semua orang bertindak sebagai hakim. Menyerang dan menghukum terus dengan mengatakan kita melindungi. Apa yang melindungi?

“Saya telah memanggil Ketua Polis Negara ke pejabat, dan saya meminta supaya kes ini disegerakan. Kemudian, semalam saya memanggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. Saya tidak boleh campur tangan dengan mengatakan cari jalan untuk menghukum orang ini. Tetapi saya katakan, cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya maksudkan,” katanya.

Pada Khamis, Faisal Halim yang juga pemain bola sepak Selangor FC muncul kali pertama di khalayak selepas lebih sebulan disimbah asid sulfurik pekat pada 5 Mei lalu. Dalam sidang akhbar, beliau meminta agar individu yang melakukan jenayah tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Kes pembunuhan Zayn Rayyan juga mencuri perhatian negara apabila ibu dan bapanya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kemungkinan kecederaan fizikal terhadapnya.

Baca Juga:
“Betul-betul jakpot”- Cleaner jumpa duit RM38,000 dalam rumah yang pemilik sudah meninggal dunia
Kecoh isu telur penyebab keracunan makanan, ini penjelasan pakar
Pemandu ambulan cekup isteri sedang bermadu kasih dengan lelaki dalam bilik hotel