Pisang di dinding dilelong dengan harga lebih RM4 juta

Photo of author

By Syima Iza

Pisang di dinding dilelong dengan harga lebih RM4 juta.

Sebuah karya seni yang menampilkan sebiji pisang dilekatkan pada dinding bakal dijual dalam acara lelongan dengan anggaran harga melebihi AS$1 juta (RM4.4 juta), lapor portal berita My North West.

Karya ciptaan artis Itali, Maurizio Cattelan, yang diberi judul Comedian, pertama kali dipamerkan pada tahun 2019 semasa Pameran Art Basel Miami Beach.

Pisang di dinding dilelong dengan harga lebih RM4 juta

Karya ini menjadi sensasi di internet dan tajuk berita utama kerana dianggap sebagai seni luar biasa, meskipun ia hanya menampilkan sebiji pisang yang dilekatkan menggunakan pita pelekat.

Pisang asal yang digunakan dalam pameran itu telah dimakan oleh seorang artis lain, namun buah pisang dan pita pelekat tersebut sering diganti untuk mengekalkan karya seni berkenaan.

Kini, karya seni konseptual ini dianggarkan bernilai antara AS$1 juta (RM4.4 juta) hingga AS$1.5 juta (RM6.7 juta) dalam acara lelongan oleh Sotheby’s pada 20 November.

Ketua Seni Kontemporari Sotheby’s, David Galperin, menyifatkan karya tersebut sebagai sesuatu yang mendalam dan provokatif.

“Apa yang dilakukan oleh Cattelan sebenarnya adalah mencerminkan dunia seni kontemporari sambil menimbulkan persoalan.

“Ia mencetuskan pemikiran tentang bagaimana kita menilai karya seni dan bagaimana kita mentakrifkan apa itu seni,” kata Galperin.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembeli karya Comedian tidak akan memperoleh pisang itu secara fizikal.

“Sebaliknya, mereka akan menerima ‘sijil ketulenan’ yang memberikan hak kepada pemilik untuk menghasilkan semula pisang dan pita pelekat itu di dinding mereka sebagai karya seni asli oleh Maurizio Cattelan,” tambah Galperin.
Baca Juga:
Isteri terkejut ‘jumpa sesuatu’ selepas check telefon suami yang baru meninggal
Senarai pemenang ‘Toilet Of The Year 2024’ buat ramai netizen teruja
Ribuan ulat bulu hitam terbang di udara bikin penduduk risau