Pihak Hospital Bersalin Razif tampil dedah perkara sebenar isu bayi dibekukan selama 16 hari.
Pihak Hospital Bersalin Razif akhirnya tampil dengan satu kenyataan menjawab isu tular yang sedang hangat diperkatakan kini.
Dalam kenyataan tersebut, hospital mendakwa pesakit sedang melalui kehamilan pertama dan tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang hamil.
Penjelasan pihak hospital
Menurut pihak Hospital Bersalin Razif (HBR), pesakit mendakwa hanya memantau kehamilannya menggunakan aplikasi telefon pintar.
Dakwa pihak HBR lagi, pesakit datang dalam keadaan sakit ditemani oleh suaminya. Namun, pesakit kemudian mendakwa tidak berkahwin.
Melihat keadaan pesakit yang menahan kesakitan, pesakit dibawa dari kereta ke bilik pemeriksaan menggunakan kerusi roda.
Di atas dasar kemanusiaan, HBR meneruskan rawatan walaupun tidak daftar dan disaring terlebih dahulu.
Jelas HBR lagi, pesakit selamat melahirkan bayi tidak lama kemudian namun malangnya bayi itu dilahirkan dengan sindrom Cyclopia (bayi hanya mempunyai satu mata, serta tidak memiliki hidung dan anus).
Doktor memaklumkan keadaan bayi kepada ‘suami’ dan memintanya untuk azan. Pihak hospital memberikan rutin suntikan kepada bayi dan bercadang membuat proses rujukan kepada pakar.
Pesakit diberi layan baik sepanjang di hospital
Namun, keadaan bayi mula lemah dan meninggal dunia. Susulan itu, pihak hospital telah mengeluarkan permit pengebumian dan meminta ‘suami’ menguruskan pengebumian keesokan harinya.
Namun, lelaki itu dikatakan meninggalkan hospital dengan alasan perlu ke tempat lain. Hospital juga telah membenarkan pesakit ‘discaj’ pada hari berikutnya.
Tetapi pesakit memaklumkan bahawa dia tidak mampu membayar bil keseluruhan berjumlah RM2,480. Pesakit menyatakan akan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membayar bil rawatan. Jadi, pihak HBR dikatakan menunggu kedatangan ‘suami’ untuk urusan tersebut.
Hari demi hari berlalu, pihak hospital sering mengingatkan pesakit untuk menguruskan pengebumian dan pesakit asyik memberitahu suaminya sedang mengatur proses tersebut.
HBR memaklumkan bahawa pesakit diberi layanan baik sepanjang berada di hospital, termasuk kaunseling, makanan percuma, dan sokongan moral.
Pesakit tak izin hospital melibatkan polis untuk pengebumian.
Dakwa HBR lagi, lelaki itu hanya melawat pesakit selama beberapa minit dalam tempoh 2-3 hari menyebabkan usaha pihak hospital untuk berbincang mengenai pengebumian tidak berhasil.
Hospital turut berusaha mendapatkan maklumat keluarga pesakit, tetapi dia enggan memberi sebarang maklumat dan mendakwa tinggal bersama “suami” di rumah sewa tanpa ada saudara-mara atau rakan terdekat. Pesakit juga memohon agar pihak hospital tidak melibatkan pihak polis dalam perkara ini.
HBR menegaskan bahawa mereka komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam setiap urusan mereka. Mereka juga berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan reputasi mana-mana pihak.