Pesara tentera menyelam cari bola golf dalam tasik jana pendapatan RM8k sebulan.
Seorang pesara tentera laut baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila beliau berjaya meraih pendapatan sekitar RM8,000 sebulan hasil mencari bola golf yang tenggelam dalam tasik di sekitar ibu negara Kuala Lumpur dan Selangor.
Memetik laporan Malay Mail, Sumadi Ibrahim, seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia selama 22 tahun, kini berusia 51 tahun.
Selepas bersara, beliau menggunakan kepakaran menyelam yang dimiliki untuk memungut bola golf yang tenggelam di tasik.
Setelah bola-bola golf tersebut dikutip, beliau akan menjualnya semula kepada pemain golf yang kehilangan bola mereka untuk digunakan dalam permainan.
Difahamkan, Sumadi mampu mengumpul antara 500 hingga 600 biji bola golf dan beliau akan mencari bola-bola itu tiga kali seminggu pada waktu malam, hanya dengan bergantung kepada cahaya bulan.
Ini kerana beliau tidak menggunakan lampu suluh ketika mencari bola-bola yang tenggelam di tasik.
Meskipun tasik padang golf yang menjadi lokasi pencarian bola golf itu tidak sedalam lautan, pekerjaan ini tetap mempunyai cabarannya yang tersendiri, di mana air tasik tersebut biasanya gelap. Jadi, kadang-kadang Sumadi terpijak serpihan cengkerang siput dan duri sawit.
Oleh kerana beliau risau jika berlaku kekejangan pada kakinya ketika mencari bola golf di tasik, beliau telah mengupah seorang pembantu yang tugasnya adalah berjaga-jaga ketika beliau turun ke tasik untuk menyelam.
Ini kerana menurutnya, pembantunya itu akan dapat membantunya jika tiba-tiba berlaku kecederaan terhadapnya.
Difahamkan juga, Sumadi akan membersihkan bola-bola golf yang dikutipnya dari dalam tasik itu sebelum dijual semula dengan harga serendah RM0.70 sebiji untuk jenama biasa dan RM6 untuk bola golf berjenama premium.