Pertama kali Gunung Fuji di Jepun tidak bersalji dalam tempoh 130 tahun, ini sebabnya.
Gunung Fuji kekal tidak bersalji sejak rekod mula dicatatkan 130 tahun lalu, menurut agensi cuaca negara Jepun.
Menurut laman Buletin TV3, salji biasanya mula terbentuk di gunung berapi itu secara purata pada 2 Oktober, manakala tahun lalu, salji pertama dikesan pada 5 Oktober.
Namun, keadaan kali ini berbeza disebabkan cuaca panas, di mana tiada salji kelihatan lagi di gunung tertinggi Jepun pada tahun ini, kata Yutaka Katsuta, seorang peramal dari Pejabat Meteorologi Tempatan Kofu.
Katsuta menjelaskan, ini adalah tarikh paling lewat sejak data perbandingan mula direkodkan pada tahun 1894, mengatasi rekod sebelumnya pada 26 Oktober yang pernah dicatatkan dua kali, iaitu pada tahun 1955 dan 2016.
“Suhu sangat tinggi pada musim panas ini, dan suhu tinggi yang sama dijangka berterusan hingga September, menghalang angin sejuk yang membawa salji,” kata Katsuta kepada agensi berita AFP.
Tambah beliau, perubahan iklim mungkin mempunyai sedikit kesan terhadap kelewatan pembentukan salji di puncak gunung.