Perompak acu parang di leher lelaki ketika solat tahajud

Photo of author

By Syima Iza

Perompak acu parang di leher lelaki ketika solat tahajud.

Polis memburu lima warga asing disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjatakan parang di rumah kampung di Parit 15 Jalan Bagan Datuk, Sungai Pulau, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Difahamkan, kesemua suspek memakai pelitup muka memecah masuk sebuah rumah ketika mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun sedang solat tahajud.

Perompak acu parang di leher lelaki ketika solat tahajud

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan telefon daripada mangsa, pada jam 4.14 pagi.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah kampung membabitkan tiga mangsa iaitu pengadu dan ibu bapanya masing-masing berusia 69 dan 66 tahun.

“Ketika pengadu sedang menunaikan ibadah di bilik tidurnya, tiba-tiba lima suspek dipercayai warga asing memukul belakang badan mangsa menggunakan hulu parang dan terus mengacukan bilah parang ke arah leher mangsa sebelum mengikat kedua-dua tangannya.

“Suspek kemudiannya membawa mangsa ke bilik tidur ibu bapanya yang sedang tidur dan bertindak mengikat kedua belah tangan bapanya menggunakan cebisan kain cadar di dalam bilik tidur berkenaan.

“Lima suspek terbabit bertindak menggeledah rumah mangsa dan melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta dua buah motorsikal jenis SYM dan sebuah motorsikal jenis Honda EX5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga bertindak mengugut mahu membunuh mangsa serta ahli keluarganya jika mereka membuat laporan polis.

“Kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan yang serius.

“Unit Forensik dan Unit Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hadir membantu siasatan berjaya menimbulkan sembilan cap jari dan merampas barangan milik suspek yang ditinggalkan semasa kejadian.

“Kerugian yang dialami oleh mangsa yang bekerja sendiri dianggarkan bernilai RM39,500,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/197 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes terbabit diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6799222.

Baca Juga:
Tular video Myvi angkut sofa naik atas bumbung kereta jadi perhatian ramai
Petugas Agensi Pengangkutan berpaut pada cermin kereta sejauh 6 km setelah dirempuh pemandu Toyata Avanza
Empat Petugas Jakoa berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus ketika misi bantuan banjir