Perlu ke jawab mesej dari majikan pada waktu cuti?
Whatsapp kini menjadi platform utama untuk berkomunikasi, sekali gus memudahkan interaksi antara majikan dan pekerja. Namun, tindakan sesetengah majikan yang menghantar mesej tanpa mengira waktu boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan pekerja.
Seorang pekerja yang sedang bercuti berkongsi pengalamannya menerima mesej daripada majikan yang mengingatkan supaya menyiapkan tugasan sekembalinya ke pejabat. Perkara ini menimbulkan persoalan di media sosial mengenai kewajaran untuk tidak menjawab mesej majikan ketika bercuti.
“Tak apa kan kalau tak jawab mesej daripada bos? Baru sahaja terima mesej tentang kerja untuk Isnin nanti.
“Walaupun tugasan itu perlu disiapkan pada hari Isnin, bos dah rosakkan mood cuti. Sebab mesej dia dah dibaca, saya mula terfikir tentang kerja.
“Mungkin dia rehat hanya waktu tidur sahaja. Dia mesej tak kira masa, malam pun mesej,” luahnya.
Wanita itu menjelaskan, dia hanya meluahkan rasa stres memikirkan kerja pada waktu cuti.
“Saya faham, memang pemilik perniagaan selalu begitu. Tapi staf ada waktu kerja yang tertentu.
“Saya stres sebab terpaksa fikir tentang kerja walaupun tugasan itu boleh dilakukan kemudian.
“Syukur saya tak bawa balik komputer riba, kalau tidak mungkin dah mula buat kerja,” katanya secara berseloroh.
Selain itu, wanita tersebut turut berkongsi bahawa majikannya sering menghantar mesej panjang berkaitan tugasan yang sukar diselesaikan.
“Untuk makluman, saya bercuti sejak Khamis. Isnin baru masuk kerja, Selasa cuti lagi.
“Mungkin majikan takut terlupa, jadi dia mesej di luar waktu kerja.
“Saya kena belajar untuk tidak membaca mesej lepas ini. Tadi buka mesej sebab sangka ada masalah berkaitan gaji, sebab gaji pun belum masuk lagi,” ujarnya.
Netizen Turut Berkongsi Pengalaman Sama
Perkongsian wanita ini mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya, yang turut mengalami situasi serupa.
“Tak apa, tak salah pun kalau tak jawab. Tapi saya pernah dalam cuti berpantang pun bos telefon sebab hanya saya tahu tentang kerja tu,” kongsi seorang netizen.
“Kalau hari minggu, cuti, atau lepas waktu pejabat, saya tak layan mesej majikan kecuali ada kecemasan. Tapi kalau telefon atau data diberikan oleh syarikat, memang kena standby 24 jam,” tambah yang lain.
“Saya biasanya archive chat daripada pihak atasan dan hanya buka pada hari kerja. Kalau bos mesej di grup dan tag nama saya, biasanya tak perlu balas pun. Dia mesej sebab takut terlupa,” kata seorang lagi netizen.
Pengalaman ini mencerminkan cabaran pekerja dalam menyeimbangkan kehidupan kerja dan peribadi, terutama dengan penggunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp.