Perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan PM, ini penjelasan Anwar. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anaknya, Nurul Izzah tidak dibayar sebarang elaun bagi menjawat Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangannya.
Katanya, beliau sendiri mempelawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantu sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan.
“Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Pelantikan Nurul Izzah hangat diperkatakan di media sosial hari ini termasuk oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang secara sinis mengucapkan tahniah atas lantikan itu di Twitter.
Mengulas soal kelulusan akademik Nurul Izzah yang didakwa tidak sesuai dengan jawatan itu, Anwar berkata, pemimpin yang dilantik sebagai menteri sekali pun tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio dipegang.
Menurutnya, Nurul Izzah mempunyai dua ijazah dalam bidang kejuruteraan dan dasar awam yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington.
“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi sebelum ini lapan tahun saya menjadi Menteri Kewangan. Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfolio) masing-masing… Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.
“Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Takda pernah berlaku macam itu,” katanya.
Yang layak tak dibayar gaji, zaman PN ramai bergaji tapi tak layak langsung 🥲@anwaribrahim @n_izzah pic.twitter.com/gcHgq127HJ
— Jason Yew (@jasonyew) January 29, 2023
Mengenai kenyataan Ahmad Faizal berhubung isu itu, Anwar berkata, ia adalah hak pemimpin itu untuk bertanya.
“Tetapi saya hendak beritahu yang penting sekali adalah hentikan curi tanah, pembalakan, dan saham projek komisyen yang menjahanamkan negara.
“Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Ya, semua bicara soal rasuah tapi bila kita sebut kes-kes sebegini dia kata (mempersoal) mengapa hendak bongkar kisah lama,” katanya.