Perkhidmatan ‘teksi udara’ di Dubai menjelang 2026

Photo of author

By Syima Iza

Perkhidmatan ‘teksi udara’ di Dubai menjelang 2026.

Dubai dijangka memperkenalkan perkhidmatan ‘teksi udara’ menjelang suku pertama tahun 2026, menurut Pengarah Teknologi Pengangkutan di Dubai Roads and Transport Authority (RTA), Khaled Al Awadhi.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi bandar tersebut untuk meningkatkan mobiliti bandar dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, lapor Sputnik.

Perkhidmatan 'teksi udara' di Dubai menjelang 2026

“Kami merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara menjelang suku pertama 2026.

“Buat masa ini, kami sedang dalam proses menguji dan mendapatkan pensijilan kenderaan dengan rakan kongsi kami, Joby Aviation, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat.

“Selain itu, kami juga sedang memasuki fasa reka bentuk untuk stesen lapangan terbang menegak atau ‘vertiport’ dengan kerjasama Skyports, sebuah syarikat dari United Kingdom,” kata Al Awadhi.

Beliau turut menyatakan bahawa Dubai merancang untuk membina empat vertiport untuk teksi udara, dengan dua daripadanya dijangka siap dan beroperasi pada awal 2026.

Selain infrastruktur, sistem pemantauan dan keselamatan untuk teksi udara juga akan diwujudkan.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk memastikan perkhidmatan ini mudah diakses.

“Kami yakin ia akan jauh lebih murah berbanding penggunaan helikopter biasa,” kata Al Awadhi, sambil menambah bahawa kos perkhidmatan ini dijangka lebih murah atau setara dengan kos menyewa limusin.

Selain itu, Dubai juga merancang untuk menjadikan perkhidmatan limusin mesra alam sepenuhnya menjelang 2026 melalui penggunaan enjin hibrid dan elektrik.

Menjelang tahun 2035, semua teksi di Dubai dijangka akan menggunakan tenaga elektrik, dan menjelang 2050, seluruh perkhidmatan bas hanya akan terdiri daripada bas elektrik sahaja, kata Al Awadhi.

Baca Juga:
Detik cemas iShowSpeed hampir ‘mati’ tercekik durian musang king ketika jelajah Malaysia
‘Keluarga Tiong’ pemilik tanah persendirian ke-2 terbesar di New Zealand rupanya dari Sarawak
“Wujud manusia macam ni…”- Wanita menyesal kahwin selepas 40 hari