Perjumpaan kali pertama komuniti Old Money undang perlbagai komen netizen.
Komuniti Old Money yang diasaskan oleh pempengaruh Andika Putera akhirnya mengadakan perjumpaan pertama mereka dan berkongsi gambar acara itu di media sosial, lengkap dengan gaya unik yang menjadi tanda pengenalan mereka.
Perjumpaan Pertama
Melalui akaun TikTok oldmoneyclub.my, komuniti tersebut meluahkan rasa syukur kerana berjaya mengadakan pertemuan buat kali pertama sejak penubuhannya.
Dalam gambar yang dikongsikan, kelihatan Andika berdiri di tengah-tengah kelompok ahli komuniti dengan berpakaian kemas. Semua yang hadir tampil dengan gaya separa formal dan ekspresi wajah yang serius.
Kapsyen hantaran itu menyampaikan penghargaan kepada semua yang hadir dan memuji mereka sebagai individu hebat:
“Alhamdulillah. Done gathering for tonight.
“Thank you kepada yang attend malam ni, korang semua orang-orang hebat,” tulisnya.
Reaksi Netizen
Namun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen. Lokasi pertemuan yang dihiasi dengan bingkai cermin menimbulkan persoalan, dengan segelintir bertanya sama ada ia diadakan di kedai perabot.
Sebahagian warganet turut mengaitkan gaya pemakaian komuniti tersebut dengan situasi sebelum ini, di mana mereka mendapat kecaman sewaktu berjalan di tengah-tengah Kuala Lumpur mengenakan sut lengkap dan baju sejuk tebal walaupun cuaca panas.
Meskipun begitu, komuniti Old Money tetap mendapat perhatian ramai, sama ada kerana gaya penampilan mereka atau usaha Andika Putera membentuk kumpulan tersebut.