Perjudian alaf baru, individu sanggup labur RM15,000 beli ‘kotak misteri’.
Jika dulu, aktiviti ‘tikam’ hanya berlaku di kedai dengan kos sekitar 10 sen hingga 20 sen, namun aktiviti tikam pada era moden ini mampu menelan wang ribuan ringgit.
Aktiviti tikam pada era moden ini berubah menjadi pembelian ‘kotak misteri’ atau lebih dikenali dengan nama ‘gacha’ yang biasanya ditawarkan dalam permainan mudah alih dengan harga tertentu.
Pada masa yang sama, unsur perjudian juga berlaku dalam pembelian kotak kad, khususnya untuk pengumpul kad anime, kartun, atau watak dalam filem.
Setiap pembelian kotak misteri serta kotak kad tidak menjanjikan barangan yang diharapkan oleh pembeli. Sebaliknya, ia umpama pertaruhan nasib.
Terdapat trend yang semakin popular iaitu penjualan kotak kad di platform media sosial, khususnya TikTok, untuk pengumpul kad.
Harga bagi setiap kotak kad atau kotak misteri yang ditawarkan adalah pelbagai dan bermula dengan harga RM100 hingga mencecah ribuan ringgit.
Tanpa disedari, ramai pengguna, terutamanya yang beragama Islam, terjebak dengan unsur perjudian moden ini, sedangkan mereka beranggapan ia sekadar hobi.
Pemerhatian wartawan terhadap aktiviti pembelian ini mendapati kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa ia satu bentuk perjudian secara halus.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pembelian gacha ini semakin berleluasa dalam kalangan pengguna, terutamanya yang beragama Islam.
“Perjudian alaf moden ini bukan lagi berunsurkan mesin slot atau kuda, tetapi pembelian kotak misteri serta kotak kad ini turut tergolong dalam unsur perjudian.
“Konsep pembelian kotak misteri ini adalah mempertaruhkan nasib, biarpun wujud kiraan kebarangkalian untuk mendapatkan sesuatu barang unik, tetapi ia masih mempunyai unsur nasib.
“Ini adalah sebahagian daripada maksiat siber iaitu perbuatan yang berdosa di sisi Islam dan ramai dalam kalangan remaja atau belia Islam terjebak dengan perkara ini,” katanya.
Menurutnya, individu tertentu sanggup berhabis ribuan ringgit wang gaji atau simpanan semata-mata untuk membeli kotak misteri atau kotak kad ini.
“Kalau kita perhalusi, bukankah tindakan itu mirip kepada ‘tahi judi’ iaitu sanggup berhabis memiliki barangan yang hanya bersifat maya atau sebagai hobi sahaja.
“Kita mahu semua masyarakat Islam mengetahui bahawa tindakan pembelian ini tergolong dalam judi dan perlu dijauhi,” katanya.
‘Labur’ RM15,000 beli kotak misteri
Sanggup menghabiskan wang lebih RM15,000 untuk membeli ‘kotak misteri’ atau lebih dikenali dengan ‘gacha’ dalam permainan semata-mata untuk memperoleh aksesori atau watak unik.
Kegilaan itu mendorong pemain untuk ‘bertaruh’ membeli kotak misteri yang berharga ratusan ringgit seunit, bergantung kepada judul permainan.
Seorang pemain yang mahu dikenali sebagai Nur Fahim, 21, berkata dia menghabiskan sekurang-kurangnya RM13,000 sejak 2018 hingga awal tahun ini untuk membeli kotak misteri atau ‘gacha’ serta melaburkan RM2,000 untuk baju watak atau aksesori yang hanya boleh digunakan di dalam permainan video sahaja.
“Untuk setiap kotak misteri ini, harganya hampir mencecah RM500 dan tidak semestinya kotak itu mempunyai aksesori unik yang kita mahukan.
“Jika dalam kotak itu tiada, saya akan membeli kotak lain sehingga memperoleh barangan yang diinginkan,” katanya.
Menurutnya, dia mengeluarkan wang simpanan peribadi untuk membeli kotak misteri serta wang saku yang diberikan oleh ibu bapanya.
“Saya juga selalu mengikut trend semasa permainan dalam talian dan cenderung untuk membeli kerana permainan terbabit menawarkan watak unik hampir setiap bulan,” katanya.