Perjalanan kereta api paling panjang dan lama di dunia, makan masa lebih 21 hari.
Dalam era moden ini, kereta api semakin menjadi pilihan popular untuk perjalanan percutian jarak jauh.
Bukan sahaja kerana kemudahan dan keselesaannya yang semakin baik, tetapi juga kerana peluang menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.
Bagi sesetengah individu, menaiki kereta api jarak jauh bukan sekadar cara untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Ia juga merupakan satu bentuk percutian unik yang mampu mengurangkan tekanan dan memberikan peluang untuk ‘melarikan diri’ daripada rutin harian.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Dkh-Kd Haron, telah berkongsi hasratnya untuk mencuba pengalaman menaiki kereta api terpanjang di dunia.
Perjalanan ini melibatkan landasan sepanjang 18,755 kilometer yang menghubungkan Portugal di Eropah hingga ke Singapura di Asia Tenggara, merentasi 13 buah negara.
Negara-negara tersebut termasuk Portugal, Sepanyol, Perancis, Jerman, Poland, Belarus, Rusia, Mongolia, China, Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura.
Menariknya, kereta api ini membuat beberapa hentian di setiap negara yang dilalui, memberikan peluang kepada penumpang untuk melawat bandar-bandar bersejarah dan menikmati budaya tempatan. Penumpang juga boleh memilih untuk memulakan perjalanan dari Portugal atau Singapura.
Namun begitu, bagi mereka yang berminat untuk mencuba pengalaman ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:
- Pasport dan Visa: Semua dokumen perjalanan mesti lengkap kerana penumpang akan melintasi banyak sempadan negara.
- Kos Tiket: Kos keseluruhan perjalanan dianggarkan sekitar €1,200 (kira-kira RM5,629).
- Penukaran Kereta Api: Perjalanan ini melibatkan beberapa kereta api yang berbeza, dan penumpang perlu menukar kereta api di stesen tertentu.