Perigi lama berusia 101 di Kampung Mengabang Kapal bakal lenyap ditelan ombak

Perigi lama berusia 101 di Kampung Mengabang Kapal bakal lenyap ditelan ombak

Perigi lama berusia 101 di Kampung Mengabang Kapal bakal lenyap ditelan ombak.

Sebuah perigi lama berusia 101 tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di sini berdepan ancaman hakisan dan dikhuatiri lenyap ditelan ombak sekiranya tidak dipulihara dalam tempoh terdekat.

Kawasan di sekitar perigi yang dipercayai dibina mengikut kalendar Islam pada 1345 Hijrah itu semakin terhakis sehingga mencecah dasarnya sejak musim tengkujuh melanda bermula hujung November tahun lalu.

Perigi lama berusia 101 di Kampung Mengabang Kapal bakal lenyap ditelan ombak

Menurut seorang penduduk, Anuar Ngah, 55, sebelum ini jarak antara perigi berkenaan dengan kawasan pantai sekitar 100 meter, namun kini kawasan itu berubah sepenuhnya apabila dilanda ombak besar.

Menurutnya, perigi sedalam kira-kira lima meter itu akan runtuh sepenuhnya sekiranya banjir melanda dan berlaku perubahan cuaca akibat Monsun Timur Laut (MTL).

“Sekarang kita berada awal bulan Januari, biasanya akan berlaku sekali atau dua kali lagi gelombang banjir dan kita khuatir perigi ini akan runtuh dan dihanyutkan ombak sekiranya tiada langkah awal diambil dalam tempoh terdekat.

“Jadi saya berharap pihak berwajib dapat buat sesuatu untuk mengekalkan telaga ini sebab ia bahan sejarah yang mempunyai nilai yang tinggi untuk tatapan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan cerita daripada generasi terdahulu, kawasan telaga ini dipercayai menjadi laluan kapal yang berlabuh suatu ketika dahulu.

“Telaga ini dipercayai dibina oleh pedagang-pedagang yang menumpang berlabuh di sini suatu ketika dahulu sebab itulah ia dinamakan Kampung Mengabang Kapal.

“Mengikut cerita orang tua-tua dulu, pada awal 1970an masih ada lagi kapal-kapal yang berlabuh di sekitar kawasan ini di mana ketika itu kapal-kapal itu datang dari Thailand untuk mengambil garam,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sukri Yunus, 43, berkata, selain mempunyai nilai sejarah yang perlu dikekalkan, perigi yang diperbuat dari batu sungai itu menjadi kegunaan penduduk setempat sekiranya kawasan itu mengalami gangguan bekalan air.

“Telaga ini masih kukuh walaupun dibadai ombak kuat musim tengkujuh baru-baru ini. Sebab itu kita harap ia dijaga dan kawasan ini dipulihara supaya ia dapat kekal berada di sini.

“Sebelum ini pun orang dulu-dulu macam nelayan dulu-dulu pun guna telaga ini untuk mandi dan sebagainya. Sekarang pun masih ada air dalam telaga ini dan menjadi kegunaan penduduk sekiranya ada berlaku gangguan bekalan air,” ujarnya.

Perigi lama itu sebelum ini pernah mendapat liputan selepas ia ditemui oleh penduduk setempat pada 18 September 2020.

Berdasarkan catatan yang ditinggalkan pada perigi berkenaan, terdapat ukiran dalam tulisan jawi tertera ‘bulan 3’ 1345 (Hijrah) dipercayai tarikh perigi itu mula dibina.

Baca Juga:
Suami isteri seleweng duit kutipan zakat MAIPK RM9.62 juta
Dua pemuda ubah sofa jadi ‘Kereta Sofa’ tarik perhatian taikun automobil terkenal
Gadis Vietnam berusia 17 tahun cari calon suami bergaji RM17,000, umur bawah 36 tahun
CATEGORIES