Pereka fesyen nafi guna khidmat ‘bomoh’ untuk menang Precious Of Malaysia.
Video tular seorang wanita berselubung kain hitam dan berperwatakan seperti bomoh dalam pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week yang berlangsung di Menara Affin, di sini, Sabtu lalu mengundang pertanyaan warganet.
Ada pihak mendakwa pereka fesyen, Nik Amri Nik Hassan, melakukan perbuatan khurafat bagi membolehkan dia memenangi pertandingan fesyen itu.
Menyedari video itu dikongsi ramai pihak, Nik Amri tampil memberi penjelasan dan menafikan andaian orang terhadap dirinya.
“Pada awalnya, saya hanya ketawa saja apabila ada yang mendakwa saya menggunakan khidmat ‘Mak Esah’ (bomoh) untuk menang Precious Of Malaysia. Tetapi apabila telefon saya tidak henti-henti terima panggilan bertanyakan hal itu, kononnya saya guna bomoh, saya jadi hairan dan pelik. Takkanlah ia terlalu serius.
“Atas sebab itu, saya memberanikan diri menjawab pertanyaan orang ramai bagi menjelaskan situasi yang sebenar. Bukan apa, saya tak nak orang beranggapan seolah-olah benar saya buat perkara khurafat itu. Minta dijauhi,” katanya.
Menurut Nik, salah faham itu timbul apabila ada yang tidak menonton video penuh dan keseluruhan situasi ketika itu. “Memang saya bawa wanita terbabit dalam pertandingan itu. Tetapi tugasnya untuk berlakon dalam gimik persembahan saya sebelum menampilkan koleksi penuh Kin By Nik.
“Asap yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga melur.
“Tidak ada perbuatan khurafat sebaliknya hanya gimik persembahan bagi memeriahkan lagi acara itu. Saya masih tahu dosa pahala sebagai orang Islam.
“Saya pun tak salahkan sesiapa kerana mereka tak tahu konsep sebenar dan tidak melihat keseluruhan gimik yang dibuat dalam pertandingan itu,” katanya.
Katanya, pada persembahan itu terdapat tiga individu yang tampil berselubung di pentas yang juga rakan penari daripada Antava Projects.
“Sebelum ini pun, kami sentiasa tampil dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas.
“Kalau saya mengamalkan perkara khurafat itu, sudah tentu saya menang besar pada pertandingan terbabit.
“Apa yang ditampilkan adalah sedikit elemen konseptual teaterikal umpama upacara membuka panggung dan meraikan tetamu dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan adat Melayu iaitu bunga melur,” katanya.
Pada pertandingan itu, Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week mengiktiraf Kin by Nik menerusi anugerah Best Showcase tahun ini.