Perbezaan pelajar Malaysia & Indonesia di Mesir yang ramai orang tak tahu

Photo of author

By Syima Iza

Perbezaan pelajar Malaysia & Indonesia di Mesir yang ramai orang tak tahu.

Baru-baru ini, seorang pelajar dari Indonesia mendakwa bahawa pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir sebenarnya tergolong dalam kalangan individu elit di sana.

Menerusi akaun TikTok miliknya, Haidir Rasyid berkongsi pengalamannya bertemu dan menemu ramah pelajar Malaysia bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan mereka di Mesir.

Perbezaan pelajar Malaysia & Indonesia di Mesir yang ramai orang tak tahu

Menurutnya, pelajar Malaysia boleh dianggap sebagai golongan elit kerana mereka menerima bantuan terus daripada kerajaan yang menyediakan fasiliti tempat tinggal, sekali gus memastikan mereka menikmati taraf kehidupan yang berkualiti di negara tersebut.

Kemudahan Tempat Tinggal Disediakan Kerajaan

Perkara utama yang membezakan pelajar Malaysia dan Indonesia di Mesir ialah penyediaan tempat tinggal. Haidir menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri menyediakan asrama kondusif khas untuk pelajar Malaysia yang menuntut di sana.Difahamkan bahawa pelajar Malaysia yang baru tiba akan ditempatkan di asrama bersama pelajar senior.

@haidirrasyidd Part 36|| Kenapa Mahasiswa Malaysia hidupnya elit, ternyata ohh ternyata… #masukberandafyp #fyppppppppppppppppppppppp #mesir #alazharuniversity #op3m #malaysia ♬ suara asli – BangDerr

Selain itu, mereka juga akan menjalani sesi orientasi bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan budaya setempat serta membina hubungan sesama pelajar.

Apa yang menarik perhatian Haidir adalah setiap bangunan asrama tersebut merupakan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan Malaysia atau kerajaan negeri masing-masing, sesuatu yang tidak dinikmati oleh pelajar Indonesia di sana.

Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa di setiap daerah di Mesir terdapat lebih daripada satu asrama khas untuk pelajar Malaysia, dengan setiap bangunan setinggi lima hingga enam tingkat yang mampu menempatkan ramai pelajar dari Malaysia.

Kos Sara Hidup Lebih Rendah & Keselamatan Terjamin

Dengan adanya kemudahan tempat tinggal ini, Haidir berpendapat bahawa pelajar Malaysia secara tidak langsung menikmati kos sara hidup yang lebih rendah kerana mereka tidak perlu memikirkan komitmen sewa rumah yang mahal, seperti yang dihadapi oleh pelajar dari negara lain.

Selain itu, pelajar Malaysia juga lebih terhindar daripada jenayah seperti rompakan dan kecurian kerana mereka tinggal di premis khas yang menempatkan komuniti senegara sahaja.

Kerajaan Malaysia Prihatin Terhadap Kebajikan Pelajar

Haidir menyimpulkan bahawa keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap kebajikan pelajar yang menuntut di luar negara mewujudkan hubungan erat antara para pelajar dan badan kerajaan.

Malah, beliau berpendapat bahawa kehidupan pelajar Malaysia di Mesir boleh diibaratkan seperti golongan elit kerana mereka menerima pelbagai kemudahan dan perhatian daripada kerajaan—sesuatu yang dianggap sebagai satu keistimewaan yang tidak semua pelajar berpeluang nikmati.

Video perkongsian Haidir ini mendapat perhatian ramai, di mana netizen Malaysia berasa bangga dengan usaha kerajaan serta kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan pelajar yang menuntut di luar negara terjaga.

Dalam masa yang sama, warga Indonesia turut mengakui kehebatan sistem kebajikan Malaysia dan berharap agar kerajaan mereka dapat menyediakan kemudahan serupa buat pelajar Indonesia yang belajar di luar negara.

Baca Juga:
Penyampai radio terkenal selamatkan lelaki cuba bunuh diri di Menara LPP
“Tak pernah masuk gelanggang, tapi ajar aku suruh tumbuk kanan, sepak kiri, aku tampar muka kau karang”
Masuk penjara sebab parkir RM7, lelaki British labelkan Malaysia sebagai ‘Neraka Tanpa Hak Asasi Manusia’