Penyanyi wanita meninggal dunia selepas urut leher di kedai urut Thai.
Seorang penyanyi wanita meninggal dunia selepas menerima rawatan urut di sebuah kedai urut di wilayah Udon Thani pada hari Ahad.
Chayada Prao-hom dari Guitar Record dilaporkan meninggal dunia selepas sesi urutan ketiga yang melibatkan urutan leher. Kematian tersebut dipercayai berpunca akibat jangkitan darah dan pembengkakan otak kira-kira jam 6 pagi di unit rawatan rapi (ICU) di hospital Udon Thani.
Teman lelaki Chayada berkata, kekasihnya mengadu kepadanya bahawa dia mengalami sakit belakang selepas melakukan persembahan pada 5 Oktober lalu.
“Dia kemudiannya meminta saya membawanya ke kedai urut Thai di Udon Thani.
“Selepas menerima urutan, dia mengadu pula rasa kebas pada separuh badan dan lengan kirinya tidak boleh digerakkan,” katanya kepada wartawan pada Ahad.
Sebelum itu, Chayada menerusi hantaran di Facebooknya berkata, tangannya bengkak dan lebam selepas menerima rawatan urut pada sesi ketiga.
Susulan itu, teman lelakinya berkata, dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap kedai urut tersebut tetapi mengakui tidak pasti sama ada terdapat cukup bukti untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan (HSS), Arkom Praditsuwan, berkata pegawai jabatan akan menyemak sama ada pusat urut yang dikunjungi mangsa adalah berlesen atau tidak untuk menyediakan perkhidmatan itu.
“Apa yang perlu kita teliti ialah sama ada perkhidmatan urutan yang mereka berikan (kepada Chayada) adalah amalan yang betul dan sejajar dengan standard untuk urutan tradisional Thailand,” katanya.